Berita Hari Ini

Tingkatkan Profesionalisme JKKK

KUALA TERENGGANU – Kursus Sijil Tadbir Urus Desa dengan kerjasama Infra-UniKL bertujuan meningkatkan profesionalisme dalam kalangan kepimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), JKKKP (Persekutuan) dan JKKKOA (Orang Asli) seluruh negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, pengukuhan profesionalisme JKKKP itu termasuk dari segi pengurusan pentadbiran, kewangan dan laporan bagi setiap perkembangan mesyuarat.

Menurutnya, usaha itu diperkukuhkan lagi menerusi pelancaran tatacara pengurusan JKKK/JKKKP 2017 sempena program yang diadakan di zon timur, di sini, semalam.

Katanya, antara tumpuan tatacara itu ialah bagi mengemas kini keputusan dan dasar terkini serta memantapkan mekanisme kawal selia selain menambah baik maklumat sedia ada.

“Pelancaran buku berkaitan tatacara ini bagi menggantikan versi lama yang diterbitkan pada 1 Januari 2014. Ia selaras dengan Transformasi KKLW di bawah T14: Memperkasa Peranan JKKK/JKKKP sebagai jentera kerajaan di peringkat akar umbi.

“Ia juga sebagai panduan kepada semua pihak berkepentingan khususnya pihak berkuasa melantik agensi pembayar dalam melaksanakan urus tadbir yang cekap, telus dan seragam,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Program Sijil Tadbir Urus Desa Infra-UniKL Zon Timur dan Pelancaran Tatacara Pengurusan JKKK/JKKKP, di TH Hotel, pada Jumaat memetik laporan Sinar Harian.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Borhan Dolah; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Azizan Mohamad Sidin; Pengarah Institut Kemajuan Desa (INFRA), Datuk Rubiyah Abd Rahman serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksklusif UniKL, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud.

Mengulas lanjut mengenai pendekatan bagi melicinkan perjalanan pengurusan di peringkat kepimpinan kampung, Ismail Sabri berkata, menjelang 2050, semua sistem tadbir urus desa akan berubah daripada pendekatan manual dan konvensional kepada sistem teknologi dan digital.

Katanya, pihaknya berhasrat mewujudkan Desa Digital sepenuhnya pada 2050 melalui kerjasam strategik dua kementerian iaitu Kementerian Penerangan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Desa digital ini akan memberi manfaat kepada 16,534 kampung yang akan diliputi jaringan Internet yang stabil. Kemudahan ini bagi melancarkan lagi urusan berkaitan pentadbiran khususnya JKKK/JKKKP seperti penyediaan dan penghantaran laporan.

“Sistem ini akan dilancarkan pada Ogos depan di mana banyak manfaat akan diperoleh seperti mengemukakan laporan dan penilaian prestasi secara online dan laporan mesyuarat secara online,” katanya.

Program Sijil Tadbir Urus Desa Infra-UniKL Zon Timur selama tiga hari itu disertai seramai 700 kepimpinan JKKK, JKKKP dan JKKKOA dari Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");