Membawang Hari Ini

Dian Sastrowardoyo Nafi Biadap Kepada Peminat

Pelakon jelita, Dian Sastrowardoyo tampil memberi penjelasan berhubung video yang memperlihatkan dia menepis tangan peminat yang mahu merakam gambarnya.

Akibat insiden itu, Dian dikecam netizen dan dianggap biadap kerana menepis tangan peminat yang mahu mengambil gambarnya.

Dia menafikan dia biadap dan mendakwa, ketika kejadian, dia berasakan ada seseorang memegang badannya dari belakang.

“Sejujurnya, ia hal yang tidak disengajakan, …ada seseorang dari belakang yang secara tiba-tiba memegang badan saya.

“Kerana terkejut dan refleks, saya menepis dan menghindarinya. Saya tidak bermaksud tidak ramah atau tidak sopan.

“Memang video itu kemudian saya padamkan supaya ia tidak menimbulkan kesan yang tidak sesuai dengan apa yang sebenarnya terjadi,” katanya mengulas insiden yang dirakamkan pada majlis tayangan perdana filem terbaharunya, Kartini, di Jakarta, baru-baru ini.

Sebaik rakaman video itu tersebar, netizen mula mengkritik Dian. Malah, ada yang menganggap Dian tidak layak melakonkan watak tokoh pembaharuan Indonesia, Kartini dalam filem berkenaan.

Meluahkan perasaan di laman Instagram, Dian sedar impak yang tercetus selepas rakaman video terbabit menjadi viral.

“Saya dapat memahami semua maklum balas dan bahawa di dunia media sosial ini, memang benar ada kalanya kita tidak boleh mengawal apa yang difikirkan orang lain atas apa yang terjadi.

“Apa yang boleh saya lakukan hanyalah bagaimana bertindak balas pada waktu tepat dengan cara yang baik. “Terima kasih buat semuanya. Saya menerima semua kritik dan sokongan dengan lapang dada,” katanya.

Dian turut meluahkan peminat penting dalam kerjaya seninya. “Kerana merekalah (peminat) yang menghidupkan industri filem. Tanpa penonton dan peminat, saya dan kami semua dalam dunia filem tak akan ada ertinya.

“Dalam soal bergambarpun, saya sama seperti perempuan lain. Saya berusaha membahagi waktu antara bekerja dan menjalani peranan sebagai manusia biasa, isteri dan ibu kepada anak saya.

“Saat bekerja, saya mencuba sepenuhnya sebagai figura awam termasuk melayani permintaan bergambar dengan peminat,” katanya.

Namun, Dian menambah, kadang kala peminat yang teruja, lupa membezakan situasi semasa apakah ketika disapa, dia sedang bekerja atau melayan keluarga.

“Saya terpaksa menolak dengan sopan. Saya faham itu risiko sebagai pekerja seni. Tetapi saya juga mencuba seboleh mungkin untuk mempunyai kehidupan peribadi dan bertanggungjawab sebagai ibu dan isteri,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");