Sukan Hari Ini

Nadal Hampiri Gelaran Ke-10 Monte Carlo

MONTE CARLO: Rafael Nadal menewaskan David Goffin 6-3, 6-1 dalam aksi separuh akhir tenis Monte Carlo Masters, pagi tadi sekali gus meletakkannya di landasan tepat memburu gelaran ke-10 di gelanggang tanah liat, kejohanan yang sama.

Pemain berusia 30 tahun yang juga juara bertahan itu akan berdepan rakan senegara dari Sepanyol, Albert Ramos-Vinolas yang turut mara selepas mengatasi Lucas Pouille 6-3, 5-7, 6-1 untuk menempah slot ke aksi final, malam ini.

Nadal sedang memburu gelaran ATP pertama sejak April tahun lalu di Barcelona dan kejuaraan ke-70 sepanjang kerjayanya.

“Sukar untuk mempercayai saya sekali lagi berada di final, ia berita yang luar biasa untuk saya. Ia adalah satu lagi kejohanan yang hebat,” kata Nadal.

“Saya bermula dengan baik dalam aksi di gelanggang tanah liat apabila mara ke final yang menjadi antara satu kejohanan penting tahun ini.

“Secara peribadi, ia adalah tempat yang istimewa untuk saya, ia membuatkan saya gembira dan teruja,” katanya.

Untuk rekod, sebelum ini Nadal pernah menewaskan lawannya berusia 29 tahun, Ramos-Vinolas, dua kali – kedua-dua pertemuan di gelanggang tanah liat Barcelona.

“Dia bermain dengan baik, dia memenangi perlawanan penting sepanjang minggu ini,” kata Nadal mengulas mengenai prestasi lawannya menjelang aksi final.

“Dia bermain dengan penuh keyakinan dengan semangat juang tinggi, mengatasi situasi sukar dalam setiap perlawanan dan bermain tenis pada tahap tertinggi.

“Saya perlu berada pada tahap terbaik untuk mempunyai peluang muncul juara di sini,” katanya.

Bagaimanapun, aksi separuh akhir antara Nadal dengan Goffin mencetuskan kontroversi pada set pertama apabila pengadil mungkin silap membuat keputusan yang menyaksikan Nadal diberikan mata sekali gus menafikan kemenangan buat Goffin yang pada awalnya mendahului 4-2. – AFP

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");