Berita Hari Ini

Empat Ciri Istimewa PM Najib Perlu Dicontohi Pemimpin Lain – Ahmad Razif

KUALA NERUS: Empat ciri istimewa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu sabar, istiqamah, berjiwa besar dan terus bergerak ke hadapan menjalankan tanggungjawabnya tanpa mengira tohmahan, perlu dicontohi pemimpin lain.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata keistimewaan lain Najib ialah beliau terus fokus kepada kebajikan rakyat dan kemajuan negara walaupun diserang daripada pelbagai sudut oleh pembangkang.

Beliau mendakwa Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar juga datang ke Terengganu baru-baru ini dalam misi untuk menggagalkan kehadiran perdana menteri ke negeri ini.

“Sampai begitu sekali yang dilakukan pihak di sebelah sana. Mereka harap kedatangan Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) di Terengganu tidak mendapat sambutan. Datuk Seri, di depan kita terbukti ada lebih 20,000 yang datang beri sokongan. Tahniah untuk semuanya,” kata beliau.

Ahmad Razif berkata demikian ketika berucap pada perasmian Program Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Nanas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh oleh Najib di sini, pada Sabtu. Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Sebanyak 500 unit rumah PPR dibina di Bukit Nanas dengan kos hampir RM84 juta. Ia adalah projek kedua selepas PPR Hiliran di Kuala Terengganu yang mengandungi 1,002 unit dan dibina dengan kos sebanyak RM134 juta.

Ahmad Razif berharap kerajaan Persekutuan dapat membina lebih banyak projek perumahan di Terengganu selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk membina 20,000 unit rumah menjelang 2020.

“Tiga fokus utama kerajaan negeri ketika ini ialah membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup, menyediakan peluang pekerjaan dan menyediakan kemudahan perumahan untuk mereka.

“Kalau kita nak lebih banyak projek perumahan di Terengganu ini, sama-sama kita pastikan kemenangan Parlimen Kuala Nerus dan DUN Tepoh pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Sementara itu, Noh memberitahu sidang media di sini bahawa PPR Bukit Nanas menawarkan sewa pada kadar serendah RM124 sebulan atau dijual pada harga serendah RM35,000 seunit.

Beliau berkata unit PPR itu adalah untuk diduduki dan bukannya disewakan atau dijadikan rumah inap.

“Kadar sewaan dan harga jualan ini adalah jauh lebih rendah daripada harga pasaran perumahan semasa. Kadar yang ditawarkan kerajaan Persekutuan mengambil kira kemampuan golongan rakyat yang layak menduduki PPR ini,” katanya.

Noh berkata kementerian akan membina 9,850 unit baharu PPR dan sedang menyiapkan 11,250 unit rumah PPR selain membina 10,000 unit rumah di bandar untuk disewa oleh golongan muda pada kadar lebih rendah daripada pasaran.

Fasiliti kawasan flat dan PPR juga akan dibaik pulih dengan kos RM300 juta, katanya.– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");