Isu Panas

Hubungan dengan PKR berakhir

KUALA TERENGGANU – Sikap PKR yang tidak menghormati Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak kebelakangan ini disifatkan sebagai tindakan melampau sehingga menyebabkan beberapa Pas kawasan termasuk dari negeri ini mengusulkan putus hubungan dengan parti itu.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Terengganu, Hanafiah Mat turut menyifatkan hubungan Pas dengan PKR Terengganu sudah berakhir lebih-lebih lagi dengan sikap PKR yang jelas menjadikan Pas sebagai ‘anak tangga’ untuk memastikan parti mereka mengorak langkah lebih cepat dalam politik negara.

Menurutnya, tindak-tanduk itu amat mengecewakan Pas sedangkan beliau mendakwa, kemenangan PKR sebelum ini adalah hasil sokongan padu jentera Pas memastikan kemenangan calon mereka yang bertanding pada pilihan raya lepas.

“Hubungan Pas dengan PKR Terengganu berakhir. Tiada lagi senda gurau malah tiada lagi harapan bersama. Cukuplah dengan kelakuan aneh sejak kita bertahalluf,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Hanafiah yang juga Penolong Setiausaha III Pas Terengganu menyatakan sokongan terhadap kenyataan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat sebelum ini berhubung keputusan meletakkan calon Pas di kesemua kerusi di negeri ini.

Menurutnya, perkembangan tersebut menggambarkan bahawa Pas Terengganu tidak sesekali memberi peluang kepada pihak lain untuk menang di kerusi Parlimen dan Dun di Terengganu pada pilihan raya akan datang.

Beliau turut menjelaskan, Pas akan terus komited memastikan parti itu menggunakan saluran demokrasi dalam berdepan cabaran PRU14 secara bersendirian.

“Pas Terengganu sedang menggenggam erat bahawa Pas akan bertanding di 32 kerusi Dun dan lapan Parlimen secara bersendirian. Pas sudah berada di arena politik sejak PRU1 hingga PRU13.

“Pahit maung Pas galas bersama. Meski pun kalah setiap pilihan raya namun Pas tetap menjuarai demokrasi. Pas tidak mengamuk, Pas tetap menunggu pilihan raya akan datang,” katanya, memetik sumber Sinar Harian Online.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");