Berita Hari Ini

Kuasa Tular Bantu Oyage Dapat Semula Telefon Bimbit

PETALING JAYA: Yves Oyage, pelancong warga Perancis menggunakan langkah bijak untuk mencari telefon bimbitnya yang tidak sengaja tertinggal di dalam sebuah kereta seorang wanita yang dinaikinya pada hujung minggu lalu.

Memetik sumber mStar Online, pemuda berusia 30 tahun itu tidak sedar tertinggal telefon bimbitnya selepas menumpang kereta seorang wanita yang tidak dikenali untuk ke bank di Bagan Lalang, Sepang.

Tanpa mengetahui nama dan tempat tinggal wanita itu, Oyage menunggu di tempat sama dia menaiki kereta wanita itu bersama catatan mengenai kejadian tersebut.

“Tolong saya! Nama saya Yves dari Perancis. Saya tertinggal telefon bimbit saya di dalam kereta anda pada Ahad.

“Boleh anda bawa ke balai polis di Sungai Pelek. Terima kasih,” tulisnya di atas sepanduk sementara menunggu wanita itu selama hampir enam jam pada Isnin.

Namun wanita itu tidak muncul tetapi gambar Oyage yang menunggu di tepi jalan di Bagan Lalang bersama catatan mengenai kejadian itu tular di laman Facebook selepas dikongsi pemilik akaun, Nur Halim Ibrahim.

“Tolong bantu! Lelaki ini terkandas di sini dan hilang telefon bimbitnya di dalam sebuah kereta. Ada seseorang telah menumpangkan lelaki itu pada Ahad.

“Dia tertinggal telefon bimbit dan kini mencari pemandu wanita yang memakai kereta jenis Proton Wira berwarna kelabu,” tulis Nur Halim dalam postingnya yang turut dikongsi lebih 2,500 kali.

Dalam postingnya pada Isnin: “Terkini. Akhirnya dapat jumpa wanita itu. Terima semua di atas bantuan anda!”.

Oyage turut menulis di ruangan komen posting Nur Halim dengan mengucapkan terima kepadanya dan juga rakyat Malaysia yang prihatin terhadap nasibnya.

“Terima kasih kepada semua rakan-rakan di Malaysia. Hari ini ramai orang kata kepada saya, anda tidak boleh cari telefon bimbit itu tapi tak mustahil untuk jejaki wanita itu!

“Jangan sesekali putus asa, tiada apa yang mustahil,” katanya.

Oyage yang berasal dari Josse, pekan kecil antara selatan dan barat Perancis memulakan perjalanan mengelilingi dunia lebih setahun lalu akan berlepas ke Filipina pada Sabtu.

Dia tiba di Malaysia pada 1 April lalu.

Telefon bimbit itu amat penting kepada Oyage kerana ia mengandungi gambar, video, dokumentasi perjalanan ke pelbagai negara termasuk Kanada, Amerika Syarikat, India, Thailand dan Kemboja.

Pemuda itu turut mendapat simpati seorang pemilik resort di Bagan Lalang, Datuk Ahmad Talal Abdul Razim yang menawarkan bilik untuknya menginap secara percuma.

Ahmad Talal melihat Oyage menunggu di tepi jalan pada petang Ahad dan berhasrat membantu pemuda itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");