Isu Panas

‘Malangnya Najib masih memerintah’

SHAH ALAM – Malaysia disifatkan ‘amat malang’ kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih memerintah tanpa pedulikan suara rakyat.

Memetik sumber Sinar Harian Online, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendakwa, Najib sanggup memburukkan beberapa negeri semata-mata memenuhi kemahuan nafsu politik peribadi beliau.

“Beliau cuba mempertahankan dirinya dengan mengatakan pelaburan yang dibawanya masuk adalah bagus, malah memperlekeh pembangkang yang dituduh anti-pelaburan asing, anti-patriotik dan menganggap pelaburan asing sebagai cara menjual negara.

“Saya menyangkal tuduhan beliau terhadap Pulau Pinang melalui beberapa fakta,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, mengikut laporan Malaysia Investment Development Agensi (MIDA) 2016, agensi di bawah Kerajaan Persekutuan ini telah membuktikan bahawa pencapaian ekonomi Pulau Pinang begitu memberangsangkan.

Sebanyak 106 pelaburan baru dibawa masuk dengan nilai tambah sebanyak RM4.29 bilion. 71 peratus daripada nilai ini adalah pelaburan asing. Kenyataan ini bercanggah bahawa ramai pelabur luar lari dari Pulau Pinang.

“Pencapaian Pulau Pinang kini berada dalam kedudukan nombor empat mengikut nilai pelaburan masuk paling banyak pada tahun lepas.

“Dengan keluasan yang kecil, prestasi Pulau Pinang lebih mapan dan kompetitif berbanding dengan sebahagian besar negeri-negeri diperintah oleh Umno BN seperti Kedah dan Melaka,” kata beliau.

Katanya lagi, dalam masa tempoh lima tahun, pencapaian sumbangan Pulau Pinang terhadap Keluaran Dalam Kasar Negera (KDNK) begitu memberangsangkan. Pada tahun 2015, Pulau Pinang menyumbang 6.6 peratus kepada KDNK, berbanding sekitar 5.5 peratus pada tahun 2010.

Tambahan pula, Pulau Pinang menyumbang 12.8 peratus kepada sektor pembuatan negara pada tahun 2015. Statistik ini diiktiraf oleh Jabatan Perangkaan Negara yang beroperasi di bawah Kerajaan Persekutuan.

“Adalah suatu yang memalukan apabila seorang Perdana Menteri dan merangkap Menteri Kewangan tidak menilai statistik ini terlebih dahulu sebelum menuduh ekonomi Pulau Pinang teruk di bawah pentadbiran Lim Guan Eng.

“Jika Najib tuduh pelabur luar lari meninggalkan Pulau Pinang, mengapakah ekonomi negeri ini semakin berkembang pesat? Tidakkah Najib tahu bahawa faktor tarikan pelabur asing adalah bergantung pada kedudukan ekonomi semasa, insentif pelaburan, potensi pulangan, tata kelola yang baik, bebas rasuah dan kestabilan politik?” ujarnya lagi.

Selain itu, beliau juga mendakwa Najib tidak faham maksud ‘jual negara’ yang diperkatakan pembangkang.

Sebelum ini, Najib menempelak pihak pembangkang yang sering kali memutarbelitkan setiap tindakan kerajaan termasuk menuduh menjual ‘kedaulatan negara’ kepada China ketika lawatan kerjanya ke negara itu baru-baru ini.

Najib berkata, tindakan pembangkang itu dilihat cuba untuk menafikan kejayaan yang diraih oleh kerajaan hasil lawatan tersebut sehingga mampu membawa masuk pelaburan bernilai RM144 bilion.

Tambah Saifuddin lagi, ‘jual negara’ yang dimaksudkan pembangkang adalah kerajaan terpaksa melaksanakan sebuah projek berkos tinggi untuk membayar hutang sesebuah syarikat terlibat skandal penyelewengan.

“‘Jual negara’ bererti apabila kerajaan Najib menyembunyikan status sebenar tanah projek pembangunan Forest City. Beliau memberi jaminan bahawa tanah projek tersebut adalah pegangan pajakan dan mempunyai had tempoh pajakan.

“Realitinya, kenyataan ini disangkal oleh Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir apabila beliau sendiri melawat kawasan projek berkenaan dan melihat papan tanda yang memaparkan status pegangan bebas!

“Adakah Najib cuba sembunyikan hakikat bahawa sebahagian tanah di Johor akan dikuasai oleh pelabur asing buat selama-lamanya?,” soal Saifuddin.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");