Berita Hari Ini

Md Raus dilantik Ketua Hakim Negara

KUALA LUMPUR: Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Tun Arifin Zakaria, yang mencapai tempoh perkhidmatan 66 tahun enam bulan.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Kenyataan itu memaklumkan, Sultan Muhammad juga memperkenankan pelantikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai Presiden Mahkamah Rayuan menggantikan Md Raus.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Maarop pula dilantik sebagai Hakim Besar Malaya menggantikan Zulkefli. Semua pelantikan berkuat kuasa hari ini.

“Bagi pihak kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tun Arifin Zakaria atas segala khidmat bakti beliau sepanjang memegang jawatan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataan itu.

Sultan Muhammad juga memberi perkenan supaya majlis penyampaian watikah pelantikan untuk hakim berkenaan diadakan pada jam 11 pagi, Isnin ini.

Ketua Hakim Negara akan mengangkat serta menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada hari yang sama. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");