Isu Panas

PAS ‘tempah maut’ jika bertanding di Wilayah Persekutuan – Syed Ali

KUALA LUMPUR: UMNO Wilayah Persekutuan yakin dapat mempertahankan kerusi Putrajaya, Labuan, Setiawangsa dan Titiwangsa di samping berusaha merampas semula kerusi Lembah Pantai pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Setiausaha Perhubungannya, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menegaskan, keempat-empat kawasan Parlimen berkenaan adalah kubu kuat UMNO dan impian PAS untuk merampasnya sekadar mimpi di siang hari.

“UMNO khususnya Barisan Nasional (BN) juga dilihat mempunyai harapan menawan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak yang kini disandang oleh Tan Sri Khalid Ibrahim daripada PKR.

“UMNO juga dilihat berpeluang untuk menyingkirkan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di Lembah Pantai, yang memenangi kerusi itu pada PRU lalu,” katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya memetik laporan Astro Awani.

Keyakinan itu katanya, berdasarkan kepada kesedaran pengundi di Lembah Pantai yang mula sedar betapa Nurul Izzah gagal melunaskan janji dan tidak berkemampuan memberi perkhidmatan terbaik.

“Nurul Izzah gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat, sebaliknya hanya berpolitik untuk meneruskan agenda Datuk Seri Anwar Ibrahim,” tegasnya.

Kerusi Parlimen yang diidamkan PAS itu secara tradisinya diwakili oleh UMNO dengan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Putrajaya, Datuk Ahmad Fauzi Zahari di Setiawangsa dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Titiwangsa.

Parlimen Lembah Pantai pula sebelum ini diwakili oleh Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin yang tewas kepada Nurul Izzah.

Menurut Syed Ali, jentera pilihan raya UMNO dan BN Wilayah Persekutuan sudah bersiap sedia untuk menentang mana-mana calon parti pembangkang sama ada daripada PKR, PAS mahupun PPBM.

Sehubungan itu beliau menegaskan, hasrat PAS untuk merampas kerusi Parlimen Titiwangsa, Setiawangsa dan Lembah Pantai sekadar igauan dan tidak akan menjadi kenyataan.

“Saya yakin pengundi di ketiga-tiga kawasan tersebut pasti akan menolak kehadiran calon Pas pada PRU akan datang,” katanya.

Mengenai hasrat PAS meletakkan calonnya di Parlimen Batu dan Bandar Tun Razak, beliau menjelaskan tindakan itu sekadar untuk memecah undi.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Cheras turut mengulas kenyataan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad bahawa parti itu menyasarkan 80 kerusi Parlimen pada PRU akan datang.

“UMNO tidak gusar dengan kehadiran PAS mana-mana termasuk di beberapa kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan khususnya di Titiwangsa dan Putrajaya.

“Saya melihat pengundi Titiwangsa tidak akan mensia-siakan kedudukan Johari selaku Menteri Kewangan Kedua jika hanya untuk memberi sokongan kepada PAS.

“Johari yang juga Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa telah banyak melaksanakan pelan pembangunan untuk kepentingan warga kota di kawasan berkenaan terutama di Kampung Baru,” jelasnya.

Tambahnya, situasi sama juga seperti di Putrajaya, walaupun ianya pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, tetapi pengalaman dan keperihatinan Tengku Adnan berjaya menambat hati pengundi di kawasan berkenaan.

Syed Ali menyifatkan PAS kini seperti cuba menempah maut dengan meletakkan calonnya di beberapa kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan pada PRU akan datang.

Bagaimanapun tambahnya, UMNO dan BN juga perlu bekerja keras bagi memastikan kerusi Parlimen yang dikuasai UMNO tidak terlepas kepada pihak pembangkang.

“Walaupun kita (UMNO) yakin dapat mengekalkan kemenangan, tetapi jentera parti perlu berwaspada kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku,” tegasnya.

Mengenai kedudukan calon UMNO di Parlimen Batu, beliau memberitahu UMNO Negeri akan membuat keputusannya.

Kawasan Parlimen Batu sebelum ini pernah dituntut oleh UMNO memandangkan majoriti pengundinya adalah orang Melayu.

Syed Ali juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku pertandingan secara tiga penjuru di beberapa kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan.

“Jangkaan saya, selain PAS, PKR dan DAP pasti akan meletakkan calon mereka di beberapa kawasan seperti di Setiawangsa, Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak,” tegasnya.

UMNO dan BN bagaimanapun kata beliau, tidak akan tunduk kepada kehadiran pembangkang dan pasti bekerja keras untuk mencipta kemenangan.

Mengulas ketegasan PAS untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan parti Amanah, Syed Ali berkata perkiraan politik pihak pembangkang sukar untuk diyakini.

“Hari ini kata tak nak kerjasama, esok pula akan buat kenyataan berlainan, inilah gaya politik pembangkang yang tidak pernah konsisten.

“Rakyat sepatutnya tidak mudah terpedaya dan memihak kepada pembangkang yang hanya bermain politik untuk agenda peribadi dan golongan tertentu,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");