Jenayah

Peluncur layar hilang: SAR guna tiga helikopter

KUALA KUBU BHARU: Tiga helikopter digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang peluncur layar yang hilang hilang selepas berlepas dari Bukit Batu Pahat di sini, petang semalam.

Memetik sumber Berita Harian Online, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam, berkata untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) pagi ini, pencarian melalui udara dilakukan menggunakan helikopter jenis AS355 milik Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Turut digunakan ialah helikopter EC725 milik Pasukan Khas Udara (PASKAU) Tentera Udara Diraja Malaysia yang tiba Pangkalan Udara Kuantan pada jam 1.30 tengah hari tadi selain helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Bermula jam 8 pagi hingga jam 11 tadi, pencarian dilakukan melalui udara di sekitar kawasan dalam radius 5 kilometer (KM) daripada kawasan mangsa dilaporkan hilang, namun belum berhasil.

“Petang ini bermula jam 2 petang, pencarian mangsa akan dibantu dua buah lagi helikopter milik JBPM serta TUDM,” katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Katanya, selain pencarian udara, operasi SAR juga digerakkan melalui jalan darat dengan jumlah keseluruhan kekuatan anggota seramai 50 orang terdiri daripada anggota polis, JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pencarian turut dibantu penduduk tempatan serta ahli Persatuan Sukan Luncur Kuala Kubu Bharu.

Difahamkan, radius pencarian untuk operasi SAR pada petang ini akan diluaskan ke 10KM dari lokasi terakhir mangsa dilihat di Taman Millenium.

Menurut Supramaniam, pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau ada terlihat kejadian itu, diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Mohamad Rosely Azli, 53, bersama enam lagi rakan melakukan aktiviti itu dengan membuat terjunan dari Bukit Batu Pahat sebelum sepatutnya mendarat di padang Stadium Millennium, Taman Millenium di sini.

Dalam terjunan kali ketiganya itu, mangsa dikatakan berlegar di udara lebih 15 minit sebelum tiba-tiba dipukul angin kuat yang membawanya lebih tinggi melebihi 1,200 meter sebelum hilang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");