Perak Hari Ini

Perogol Kahwini Mangsa: Satu Cadangan Yang Tidak Relevan

IPOH: Ekoran kenyataan kontroversi yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya yang mengatakan tidak menjadi satu kesalahan bagi mangsa rogol berkahwin dengan perogol malah beliau juga mencadangkan mangsa yang berusia sembilan tahun juga bersedia secara fizikal dan rohani untuk berkahwin.

Kenyataan tersebut telah mendapat berbagai reaksi dari orang ramai yang merasakan cadangan ahli parlimen tersebut sebagai tidak relevan. Perak Today hari ini mengadakan tinjauan bagi mendapatkan pandangan orang ramai berkenaan isu ini.

Menurut Fendi, 50, beliau tidak bersetuju sekiranya kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan seksual atau dirogol disuruh berkahwin dengan perogol tersebut.

“Saya tidak bersetuju, jika kanak-kanak yang di bawah umur ini disuruh berkahwin kerana ini akan menganggu proses pembesaran mereka. Semestinya tindakan ini akan merosakkan minda mereka.

“Seharusnya perogol itu ditangkap dan dihukum. Selepas itu perogol tersebut harus bertanggungjawab kepada mangsa dengan cara membantu keluarga tersebut membesarkan kanak-kanak tersebut,” katanya.

Fendi juga mengatakan kes-kes sebegini terjadi adalah berpunca dari pengaruh luar dan ini telah menjadi satu masalah besar kepada negara Malaysia.

Bagi Nur Solehah Adnan, 31, beliau menganggap cadangan ini sebagai satu idea yang tidak relevan kerana ia melibatkan hak kemanusiaan kepada mangsa tersebut.

“Ianya satu cadangan yang tidak relevan. Kita tidak boleh memaksa mangsa rogol untuk berkahwin dengan perogolnya. Bagaimana jika yang merogol tersebut adalah bapa atau abang kepada mangsa?

“Ini akan memberi impak kepada psikologi mangsa sendiri dimana mangsa terpaksa berhadapan dengan orang yang telah merogolnya setiap hari jika mereka berkahwin.

“Emosi mangsa akan terganggu malah masa depan mereka sendiri juga akan menjadi semakin gelap,” katanya.

Menurut Nor Solehah juga, cadangan yang diberi oleh ahli parlimen Tasek Gelugor itu seolah-olah memberi tanda positif kepada perogol untuk melakukan lebih banyak kes rogol.

“Sepatutnya kita perlu memandang dari sudut mangsa itu sendiri, bukannya kita beri tanda positif kepada perogol. Ini akan membuatkan perogol tidak akan berasa bersalah kerana selepas melakukan perbuatan itu mereka boleh berkahwin dengan mangsa.

“Perkara ini juga akan menambahkan lagi isu kepincangan keluarga kerana bagaimana mangsa hendak meneruskan hidupnya dengan seseorang yang dia sendiri tidak suka,” jelasnya.

Manakala bagi Nor Suzaini, 31, beliau menyarankan agar mana-mana pihak termasuklah ahli politik sendiri haruslah mendapatkan pandangan dari rakyat dulu sebelum membuat sesuatu cadangan atau kenyataan.

“Saya rasa perkara ini tidak wajar berlaku, saya tidak bersetuju 100 peratus dengan kenyataan beliau (Shabudin). Sepatutnya perkara ini perlu dibincangkan lebih mendalam untuk jangka masa yang panjang.

“Ini menunjukkan seperti hak mangsa tidak terbela dan ini akan memberi kesan yang buruk terhadap mangsa dan keluarganya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");