Berita Hari Ini

159 Jambatan Dikenal Pasti Perlu Pemulihan

BATU PAHAT – Kementerian Kerja Raya telah mengenal pasti 159 jambatan di negara ini berada di dalam keadaan yang memerlukan pemulihan berikutan sudah usang atau rosak akibat bencana banjir.

Daripada jumlah berkenaan, 19 daripada jambatan di bawah selenggaraan kerajaan pusat itu mengalami kerosakan kritikal, memerlukan kerja baik pulih dalam masa dua tahun dan bakinya akan diselenggara dalam masa lima tahun.

Menterinya, Datuk Sri Fadillah Yusof berkata, sebanyak RM882 juta telah disediakan untuk membaik pulih 159 jambatan berkenaan dan kini ke semuanya dalam proses terakhir untuk melaksanakannya.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM80 juta disediakan untuk membaiki keroskan 19 jambatan yang telah kritikal, manakala sebanyak RM802 untuk 140 lagi jambatan yang mengalami kerosakan yang tidak kritikal.

“Sebagai contohnya, di negeri Johor ini terdapat sebuah jambatan yang mengalami kerosakan yang kritikal, iaitui di Sungai Nibong, Batu Pahat yang kos membaikinya menelan belanja sekitar RM2.87 juta.

“Dan kerja baik pulih berkenaan akan dimulakan pada penghujung tahun ini dan akan siap dalam masa dua tahun untuk keselesaan pengguna jalan raya,” katanya dalam sidang media semasa Jelajah FT Roadpedia Zon Selatan, Kementerian Kerja Raya lapor Sinar Harian.

Dalam jelajah berkenaan, beliau singgah ke tapak projek menaiktaraf Jambatan Parit Keliling, di sini yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad dan Jurutera Daerah JKR Batu Pahat , Alias Mohd Zin.

Dalam pada itu, Jambatan Parit Keliling ini yang menelan belanja sebanyak RM7.68 juta itu dijangka siap sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, atau 13 Jun 2017 yang bakal mempunyai empat lorong dua hala.

Fadillah berkata, selain 159 jambatan berkenaan yang bakal melalui proses pemulihan, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan untuk menjalankan satu kajian khusus bagi kesesuaian kenderaan yang melalui jambatan yang sedia ada.

Menurutnya, kini kederaan yang berada di jalan raya termasuklah yang menggunakan jambatan semakin bertambah, dan tidak terkecuali bagi kenderaan perdagangan seperti lori dan juga bas.

“Kenderaan kini semakin bertambah, termasuk juga kenderaan perdagangan seperti lori dan bas, yang beratnya juga semakin bertambah…kita khuatir jambatan sedia ada tidak mampu menampungnya.

“Sebab itulah kita akan membuat satu kajian bersama Kementerian Pengangkutan, bagi memastikan jambatan yang sesuai digunakan untuk kenderaan perdagangan ini dan kemudiannya kita akan meletakkan had muatan kenderaan yang boleh menggunakan sesebuah jambatan.

“Begitu juga sekiranya kita mahu membaik pulih atau membina jambatan yang baharu, kita akan turut bekerjasama dengan mereka (Kementerian Pengangkutan) bagi menentukan had muatan kenderaan yang boleh menggunakan jambatan yang bakal dibina kelak,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");