Isu Panas

‘EXCO, Wakil Rakyat PAS Selangor Tak Boleh Dibeli’

KUALA LUMPUR: EXCO Kanan Kerajaan Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata barisan EXCO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di negeri itu tidak boleh dibeli untuk menggulingkan kerajaan negeri.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, sebarang usaha ‘membeli’ EXCO dan ADUN PAS adalah sia-sia kerana mandat diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak akan dikhianati.

“Tidak ada jumlah wang dapat membeli mana-mana EXCO atau ADUN untuk membentuk kerajaan negeri baharu bersama UMNO.

“Ketika Kerajaan Kelantan pimpinan PAS hanya memiliki majoriti satu kerusi, kerajaan negeri tetap tidak tumbang kerana tiada ADUN PAS dapat dibeli.

“Sudah terbukti rakyat PAS mempunyai integriti tinggi dan tidak akan menggadaikan prinsip mereka,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Selain Iskandar, dua lagi anggota EXCO kerajaan negeri daripada PAS ialah Zaidy Abdul Talib dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Tiga EXCO berkenaan adalah antara 13 wakil rakyat PAS yang mengisi kerusi DUN Selangor.

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata, rakyat di negeri itu mendapat pembelaan yang sewajarnya sejak Mac 2008.

Beliau berkata, rakyat menikmati manfaat daripada pelbagai program kebajikan menerusi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) atau kini dikenali sebagai Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Tidak masuk akal untuk menyerahkan kembali negeri ini kepada UMNO, sekali gus merungkai segala inisiatif yang diusahakan dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri hari ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");