Berita Hari Ini

MBM Perlu Rujuk Semula Perlembagaan Demi Komposisi Etnik – TPM

PUTRAJAYA: Majlis Belia Malaysia (MBM) perlu merujuk kembali Perlembagaan mereka dan memasukkan pemimpin belia mengikut komposisi kependudukan serta etnik di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia sekali gus harus dilihat sebuah pertubuhan induk yang memberi manfaat seluruh belia dengan program kepada kumpulan sasar.

“Keprihatinan dan kepedulian saya, ajak semua dari pelbagai kaum untuk aktif dalam persatuan belia, ajak kawan-kawan untuk bersama kerana belia sebagai sebuah persatuan adalah tapak untuk mewujudkan sebuah kepimpinan mantap dalam apa juga organisasi nanti.

“Jangan ada Melayu sahaja, perlu ada pemimpin belia India, Cina, Kadazan, Murut juga,” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Belia 2017 pada Isnin lapor Astro Awani.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Timbalannya, Datuk S. Saravanan serta Presiden MBM, Mua’ammar Ghadafi Jamal Jamaludin.

Hari Belia Negara 2017 kembali ke Putrajaya selepas dilaksanakan di lokasi lain tahun lalu.

Dengan membawa tema “Negaraku” sebagai matlamat meningkatkan rasa kasih dan cinta belia kepada negara pada sambutan kali ini, pelbagai acara dan pengisian telah disusun meliputi segmen-segmen seperti Anugerah Belia Negara, Konvensyen Belia Kebangsaan 2017, Seni dan Budaya, Karnival Usahawan Artis Tanahair, Karnival Usahawan Agropreneur Muda serta Ekspresi Kerohanian, Pendidikan dan Kemahiran, Sukan.

Walaupun penganjuran kali ini dilaksanakan dalam skala sederhana, namun pihak penganjur (MBM bersama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia) tetap mensasarkan penglibatan belia di semua peringkat.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta bagi kos pentadbiran semua agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan berbanding hanya RM8 juta setahun sebelum ini.

Sementara itu, penerima Anugerah Khas bagi Anugerah Belia Negara 2017 disandang Dr Mohd Lutfi Lokman, Anugerah Emas Remaja Perdana, Ka Kai Fong, Anugerah Perdana Belia Kategori Individu lelaki, Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz sementara Kategori Individu Wanita dimenangi Nurul Syafinas Ishak.

Dalam pada itu, johan Anugerah Perdana Belia Negara Kategori Pertubuhan dimenangi Kelab Beliawanis Sri Sepang dan naib johan disandang Persatuan Belia Beliawanis Bukit Kuda, Wilayah Persekutuan Labuan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");