Perak Hari Ini

Seminar Hammam 2017: Terap Konsep Jaga Kebersihan Tandas

IPOH:Penerapan terhadap garis panduan, kaedah serta konsep untuk menjaga tandas awam di setiap masjid, surau dan tempat ibadat di negeri ini memerlukan peranan semua pihak terutama masyarakat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata penganjuran Seminar Hammam 2017 berkaitan penjagaan kebersihan tandas melibatkan seluruh jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini antara langkah pertama merevolusikan langkah itu menjadi sebahagian amalan masyarakat kelak.

Malah jelasnya seminar yang dianjurkan hari ini juga tertumpu kepada kepada proses mendidik bagaimana untuk mewujudkan tandas dan bilik air yang bersih khususnya di peringkat negeri ini yang mana pada peringkat awalnya tumpuan diberikan kepada kebersihan masjid dan surau.

“Kebersihan di tempat ibadat, merupakan pra syarat yang penting meliputi semua agama malah semua agama menekankan aspek kebersihan.

“Adalah malang sekiranya terdapat tandas awam yang tidak dijaga dengan baik dan dalam keadaan bersih dan sukar memberi gambaran yang baik terhadap masjid dan masyarakat dan agama sendiri,” katanya kepada media sejurus merasmikan seminar Hammam 2017 peringkat Negeri Perak yang bertemakan merevolusikan pemikiran tentang kebersihan.

Terdahulu seminar anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAPk) dan Institut Darul Ridzuan (IDR) menyediakan sesi pembentangan, bengkel Hammam dan pelan tindakan khusus kepada wakil pengurusan masjid dan surau di seluruh negeri ini.

Seminar Hammam 2017 merupakan seminar yang julung kalinya dianjurkan di negara ini yang memberikan penerangan serta kaedah praktikal untuk menjaga keadaan tandas dan bilik air di setiap masjid.

Jelas Zambry di peringkat negeri, masjid dan surau disaran supaya memulakan revolusi baharu supaya amalan menjaga kebersihan di masjid dan surau dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Aspek kebersihan ini juga turut melibatkan penyertaan rakyat yang perlu memastikan kebersihan terjaga supaya Perak akan terkenal sebagai negeri yang bersih,” katanya.

Sementara itu beliau turut menegaskan sebarang rugutan dan laporan mengenai tandas awam yang kotor perlu dilaporkan segera kepada pihak bertanggungjawab termasuk kepadanya.

“Saya sering kali melawat tandas awam di negeri ini sama ada ia dilaporkan atau tidak dilaporkan kerana menjadi dasar kerajaan negeri untuk memberi perhatian kepada kebersihan tandas awam.

“Kita tidak mahu melihat keadaan tandas awam yang kotor, dan sekiranya saya meninjau sendiri dan dapati rugutan, saya mahu mereka yang menguruskan tandas awam di daerah berkenaan untuk bertanggungjawab.

“Mereka perlu pastikan keadaan sentiasa bersih dan lawatan mengejut perlu dilakukan bagaimanapun orang ramai juga dinasihati supaya tidak merosakkan atau mengotorkan kemudahan tandas yang disediakan selain menjadikan negara maju sebagai contoh,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");