Sukan Hari Ini

Tiada Campur Tangan Pengurusan Tertinggi FAM Dalam Skuad Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Senarai pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan tidak melibatkan campur tangan pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kata Setiausaha Agungnya Datuk Hamidin Mohd Amin.

Beliau berkata pemilihan dibuat berdasarkan cadangan penolong jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe berikutan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Nelo Vingada belum sempat menilai sendiri prestasi pemain dalam saingan Liga Malaysia.

“Semua perlu tahu Vingada seorang jurulatih yang meminati pemain muda. Beliau sendiri telah memberitahu akan memantau pemain daripada skuad Projek Sukan SEA 2017 kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan pada masa akan datang.

“Cuma untuk perlawanan pertama bertemu Lubnan pada 13 Jun ini, Vingada tidak mempunyai masa yang secukupnya dan menggunakan gabungan pemain sedia ada yang dirasakan adalah terbaik buat masa ini menerusi pemantauan oleh Cheng Hoe,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Hamidin berkata pembentukan skuad Harimau Malaya yang lebih mantap akan dapat dilihat selepas sambutan Hari Raya berikutan Vingada sendiri dapat melakukan pemantauan pemain dalam saingan Liga Malaysia dan Piala Malaysia.

Justeru, Hamidin meminta agar peminat dan penyokong bola sepak tempatan bersabar dan berhenti membuat kritikan secara berterusan kerana bola sepak kini berada dalam proses melakukan perubahan ke arah yang lebih positif.

“Sudah tentu bagi perlawanan skuad kebangsaan seterusnya pada September, Oktober dan November nanti, Vingada akan dapat membariskan gabungan pemain muda dan senior terbaik untuk memperkasakan skuad Harimau Malaya,” katanya.

Selepas senarai nama 26 pemain dipanggil menjalani kem latihan pusat skuad kebangsaan dikeluarkan pada Rabu lepas, terdapat banyak kritikan terhadap pemilihan pemain tersebut dalam kalangan peminat dan penyokong bola sepak serta bekas-bekas pemain yang disiarkan di media.

Hamidin berkata daripada senarai 26 pemain itu, hanya sembilan pemain sebenarnya berusia 30 tahun dan ke atas yang dilabel sebagai ‘kuda tua’ manakala selebihnya 17 pemain berusia di bawah 30 tahun melibatkan tujuh pemain dalam lingkungan usia 22 hingga 25 tahun, dan 10 pemain berusia 26 hingga 29 tahun.

Mengenai empat pemain yang sebelum ini mengumumkan persaraan dalam skuad kebangsaan — Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Kunanlan dan Amirulhadi Zainal, beliau berkata itu adalah kehendak pemain-pemain berkenaan untuk kembali menyarung jersi skuad Harimau Malaya.

Hamidin, bagaimanapun berkata prestasi mereka akan tetap dianalisis dalam kem latihan dan tidak semestinya mereka akan kekal dalam pasukan kebangsaan jika gagal mempamerkan prestasi yang baik.

“Bagi saya, sesiapa saja tidak kiralah pemain kuda tua, pemain yang kembali daripada persaraan atau pun pemain muda sekali pun, jika terbukti mereka adalah yang terbaik, mereka boleh menyarung jersi skuad Harimau Malaya.

“Janganlah kita semua terlalu cepat menilai sebelum sempat pun pemain-pemain ini dan Vingada sendiri turun padang,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");