Berita Hari Ini

Serangan Di Mekah: Jemaah Haji Tidak Perlu Risau – Abdul Azeez

PUTRAJAYA: Jemaah haji Malaysia tidak perlu panik dan risau dengan insiden serangan bom berani mati berhampiran Masjidil Haram di Makkah semalam memandangkan petugas keselamatan Tabung Haji akan memantau pergerakan mereka ketika menunaikan ibadah suci itu tidak lama lagi.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata jemaah haji hanya perlu mendengar nasihat dan arahan diberikan petugas haji bagi memastikan segala-galanya berjalan lancar.

“Saya percaya jemaah akan ikut nasihat seperti dilakukan sebelum ini. Apa yang berlaku memang membimbangkan jemaah haji dan keluarga mereka.

“Jemaah perlu tenang dengan apa yang berlaku. Tidak perlu panik, risau. Pasukan keselamatan akan pantau pergerakan jemaah di kawasan ibadat. Malah saya sendiri akan berada di sana insya-Allah,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri hari ini.

Insiden serangan bom berani mati itu mencederakan 11 orang termasuk lima pegawai polis Arab Saudi. Kementerian Luar semalam mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbabit dalam insiden itu.

Penerbangan pertama jemaah haji dijadual berlepas pada 24 Julai, manakala penerbangan terakhir pada 25 Ogos di lapan buah lapangan terbang utama iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Sepang; Alor Star, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Senai, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Bharu, Kelantan; Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak.

Seramai 30,200 jemaah akan menunaikan ibadat haji bermula Julai ini.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");