Isu Panas

Dr Mahathir Bukan Boneka

KUALA LUMPUR:Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan menjadi alat kepada mana-mana parti politik di negara ini sepertimana tanggapan sesetengah pemimpin BN.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, Mahathir sudah diketahui umum bukan sahaja di Malaysia malah di dunia sebagai pemimpin berani dan berpendirian tegas.

Katanya, Mahathir yang telah berkecimpung dalam politik lebih 70 tahun dan menjadi perdana menteri lebih 22 tahun tidak mungkin menjadi boneka kepada sesiapa.

“Tidak ada seorang pun di negara ini baik yang masih hidup mahupun yang sudah mati boleh menandingi rekod beliau, tak masuk akal jika beliau diperalatkan apatah lagi menjadi boneka.

“Dalam tempoh menjadi pemimpin nombor satu negara, Lim Kit Siang merupakan antara musuh beliau, kini senario berbeza apabila beliau dan Kit Siang bersepakat untuk bergabung kekuatan masing-masing bagi menumbangkan Umno/BN dalam PRU14 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad yang menuduh Mahathir sebagai boneka kepada Kit Siang seperti yang disiarkan akhbar arus perdana semalam memetik laporan Sinar Harian.

Kamarudin berkata, kenyataan sedemikian menggambarkan keresahan pemimpin BN kepada kebangkitan parti pembangkang yang bergabung menjadi Pakatan Harapan.

“Saya menyarankan Tengku Sarifuddin bersemuka dengan Tun pada 13 Ogos nanti, di mana Tun dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diundang menjadi peserta forum bertajuk Nothing To Hide.

“Kalau tidak sanggup berdepan, lebih baik tidak bercakap apa-apa pasal Tun, lebih baik diam saja,” katanya.

Menurut beliau, Bersatu sudah berada dalam mode pilihan raya ketika ini dan sudah mengenal pasti calon boleh menang yang akan bertanding.

Bagaimanapun katanya, jumlah kerusi Parlimen dan Dun Bersatu akan bertanding bergantung kepada rundingan dengan parti komponen dalam Pakatan Harapan.

“Bersatu juga bersedia menghadapi kemungkinan berlaku pertembungan tiga penjuru yang dikatakan akan memihak kepada BN.

“Di atas kertas, mungkin kelihatan BN mendapat kelebihan tetapi kita yakin dengan sokongan rakyat akhir-akhir ini yang kecewa dengan kegagalan kerajaan BN dalam menyelesaikan masalah mereka terutamanya masalah ekonomi,” katanya.

Tambah beliau, perubahan ketara sikap pengundi termasuk pengundi tradisional BN dan Pas yang marah terhadap BN sehingga parti-parti lain yang bersekongkol dengan BN juga bakal menerima padahnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");