Perak Hari Ini

LAP, TNB Akan Teruskan Pendekatan Permukiman Beri Bantuan Kepada Yang Memerlukan

BEHRANG: Selain mendekati dan mendengar permasalahan rakyat dari semua peringkat, program Permukiman Menteri Besar Perak ini juga antara platform untuk pelbagai agensi dan jabatan mendekati dan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata melalui program permukiman ini, hampir RM300 ribu telah diperuntukkan di bawah portfolionya bagi menyalurkan sumbangan kepada golongan asnaf.

 

“Setiap kali ada program permukiman, Lembaga Air Perak (LAP), akan mencari masjid dan rumah golongan yang memerlukan untuk diberi bantuan.

 

“Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak pula akan mengenal pasti rumah-rumah asnaf yang memerlukan bantuan pendawaian”, katanya.

 

Tambah beliau, sepanjang program permukiman tahun ini, sebanyak 204 buah rumah telah menerima bantuan dari TNB Perak dari segi pendawaian elektrik, pembaikkan rumah dan bantuan pelajaran kepada isi rumah berkenaan.

 

Selain itu katanya, yang terbaharu, LAP turut memberikan bantuan berupa pemasangan paip dan bekalan air kepada kira-kira 10 buah rumah di Kampung Pasir dan Ulu Slim.

 

Zainol juga berkata, pendekatan sebegini akan diteruskan pada masa akan datang.

 

“Pendekatan yang kita sudah bermula sejak di Larut Matang-Selama, Perak Tengah, Bagan Datuk, Hilir Perak, Kuala Kangsar dan terkini Tanjung Malim ini, akan diteruskan ke kawasan lain pada masa akan datang,” katanya.

 

Beliau berkata demikan pada program Mini Karnival Teras Keselamatan Di Parlimen Tanjung Malim di Perkarangan Masjid Al Hidayah, Bandar Behrang 2020 di sini pada Jumaat.

 

Selaku penganjur, Zainol berkata antara tarikan bagi program ini ialah setiap pembayaran bil LAP akan menerima minyak masak percuma ataupun kupon minyak masak.

 

Pada masa sama, Jawatankuasa Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak pula, menawarkan pemberharuan cukai jalan percuma kepada kenderaan melebihi satu tahun yang sudah tamat tempoh cukai jalan dan subsidi insuran sebayak RM20 kepada 100 motosikal terawal.

 

Dalam program tersebut, seramai 100 orang asnaf menerima bantuan kotak makanan dari LAP.

 

Program turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");