Sukan Hari Ini

Federer Idam Lebih Banyak Trofi

ROGER Federer berkata pemburuan lebih banyak trofi berbanding kembali ke status pemain no. 1 dunia menjadi rangsangan buatnya untuk terus bermain selepas melakar rekod meraih kejuaraan Wimbledon kelapan semalam.

Bintang tenis Switzerland itu meraih trofi grand slam ke-19 di Gelanggang Tengah SW19 dengan kemenangan 6-3, 6-1, 6-4 ke atas Marin Cilic – gelarannya yang ke-93 dalam kerjayanya yang penuh gemilang.

Kejayaan terbaru Federer mengangkatnya ke ranking nombor 3 dunia, kedudukan tertingginya dalam tempoh hampir setahun setelah musimnya pada 2016 disingkatkan selepas Kejohanan Wimbledon gara-gara kecederaan lutut dan belakang.

Tanpa sebarang mata lagi untuk dipertahankan tahun ini, asakan kini beralih terhadap ranking teratas Andy Murray, dengan Federer atau Rafael Nadal berkemungkinan bersaing sesama sendiri bagi ranking no. 1 sepanjang baki saingan musim 2017.

Rekod 31-2 setakat tahun ini – yang tertumpu kepada catatan 14-0 dalam grand slam – telah membantu Federer memenangi lima daripada tujuh kejohanan yang disertainya musim ini.

“Saya bermain untuk kejuaraan pada waktu ini dalam karier saya, bukanlah sangat mengejar ranking,” katanya selepas berparti sehingga jam 5.00 pagi berikutan kejayaan terbarunya itu.

“Saya harus memeriksa jika ia berbaloi untuk dikejar. Jika anda memenangi kejohanan terbesar, anda akan meraih habuan daripadanya tapi saya harus lebih bijak dengan tubuh saya.”

Tiada pemain lelaki yang telah memenangi lebih banyak daripada 19 gelaran grand slam milik Federer, dengan jumlah 24 kejuaraan grand slam pemain wanita, Margaret Court, berpotensi menjadi sasarannya.

Namun, Federer berpuas hati dengan pencapaiannya setakat ini dan tidak akan memberi tekanan ke atas dirinya untuk memenangi sejumlah tertentu.

“Saya tidak menyasarkan sejumlah tertentu grand slam yang mahu saya raih,” jelasnya. “Saya tidak pernah menetapkan sasaran sedemikian.

“Saya sangat berpuas hati dengan 17, lebih gembira dengan 18, malah jauh lebih gembira dengan 19. Jadi, 17 adalah satu nombor yang mengagumkan.

“Bagi saya, ia berkisar kepada menikmati keseronokan daripadanya, kekal sihat dan melihat apa yang akan berlaku. Sasaran saya ialah menikmati kedudukan selaku juara Wimbledon selama setahun dan juara Terbuka Australia selama setahun.”

 

-STADIUM ASTRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");