Sukan Hari Ini

Kaunter Tike Tak Hangat Macam Biasa

KEADAAN di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan, pagi tadi lengang apabila jelas kelihatan tidak ramai peminat menyerbu kaunter jualan tiket membabitkan aksi Liga Super antara Pahang dengan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) malam ini.

Kebiasaannya, apabila dua pasukan itu iaitu skuad Tok Gajah dan Harimau Selatan bertemu, peminat bola sepak terutama penyokong Pahang sudah berada seawal jam 7 pagi untuk mendapatkan tiket perlawanan berkenaan.

Namun, ia berbeza dan prestasi tidak menentu skuad Pahang turut menjadi faktor selepas gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut termasuk terbaru seri 1-1 dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC.

Pada masa sama, skuad bimbingan Dollah Salleh juga ketinggalan sembilan mata ketika Johor DT selesa untuk terus menerajui Liga Super.

Penyokong Tok Gajah Jamaluddin Hassan, 34, dari Tanjung Lumpur, di sini, hairan sebaik tiba di perkarangan stadium apabila melihat tidak ramai peminat yang beratur membeli tiket.

Katanya, kebiasannya sebelum jam 9 pagi peminat sudah mula beratur panjang dan menunggu lebih 30 minit untuk mendapatkan tiket.

“Tapi, saya gembira kerana malam ini saya dapat menyaksikan pertemuan Pahang dan Johor DT yang diharap memihak kepada tuan rumah.

“Biarpun Harimau Selatan dilihat konsisten, saya percaya Tok Gajah akan bangkit malam ini sekali gus mencatat kemenangan,” katanya.

Pada perlawanan malam ini, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) memperuntukkan 25,000 tiket dan sebanyak lapan kaunter dibuka bermula dari jam 10 pagi.

 

-HARIAN METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");