Sukan Hari Ini

Kehadiran Datuk Misbun Memberi Saya Semangat -Iskandar

KUALA LUMPUR: Kehadiran Datuk Misbun Sidek selaku ketua jurulatih perseorangan lelaki seakan memberikan semangat luar biasa buat Iskandar Zulkarnain Zainuddin terutama menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur bulan depan dengan sasaran peribadi iaitu mempertahankan emas yang dimenangi Chong Wei Feng dua tahun lalu.

Menurut pemain kelahiran Johor itu, dia akan mengambil tempoh sebulan ini dengan sebaik mungkin untuk berguru dengan lebih mendalam bersama Misbun walaupun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak meletakkan sasaran emas untuk acara berkenaan.

“Beliau (Misbun) pun meletakkan sasaran untuk saya meraih emas di Sukan SEA dan saya harap apa yang akan dicurahkannya mampu diambil serta digunakan sebaik mungkin ketika temasya itu nanti,” katanya.

Tambahnya, dia memang berfikiran realistik dalam usaha mempertahankan emas itu terutama ketika beraksi di tempat sendiri dan mendapat bantuan dari jurulatih yang mempunyai pengalaman luas.

“Misbun pernah membantu Roslin Hashim memenangi emas di Sukan SEA (2001) dan saya rasa beliau mempunyai aura itu dan juga saya yakin beliau mampu membantu saya dengan lebih mendalam lagi.

“Berlatih dengannya setakat ini semuanya saya mampu ikuti dengan baik sekali. Bagaimanapun, latihan ketahanan diri memang agak sukar. Saya harap minggu depan (minggu ini) mampu untuk menyesuaikan diri,” kata Iskandar.

Iskandar yang membantu Malaysia meraih gangsa dalam acara berpasukan lelaki di Sukan SEA 2015, mengakui walaupun berlatih di bawah Misbun sangat keras dan tegas namun legenda perseorangan lelaki itu masih lagi berperikemanusiaan.

“Beliau bukannya menekan pemain yang amat sangat, ada kalanya keras dan ada perlahan. Saya mempunyai sebulan lagi untuk mempersiapkan diri bagi Sukan SEA. Sekarang masanya untuk saya mencari semula kekuatan fizikal kerana sebelum ini terpaksa berehat lama akibat kecederaan.

“Jadi saya perlu siapkan diri dari segi mental dan harap ia juga tidak mengganggu persiapan saya (Sukan SEA),” katanya yang akan beraksi dalam acara perseorangan lelaki bersama pemain muda Lee Zii Jia.

 

-HARIAN METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");