Jenayah

Kertas Siasatan Kematian Thaqif Tak Ditutup

JOHOR BAHRU: Polis menafikan dakwaan kononya kertas siasatan kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, akan ditutup berikutan laporan bedah siasat menunjukkan ia disebabkan kencing tikus dan bukannya akibat kecederaan lain.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Azman Ayob, berkata polis kini dalam proses mendapatkan nasihat daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya berhubung tindakan selanjutnya dalam kes ini.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat apa-apa spekulasi kononnya polis sudah menutup kes ini, kita akan mendapatkan nasihat daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya sebelum meneruskan tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor di Dewan Dato’ Onn Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Azman yang dinaikkan pangkat kepada Senior Asisten Komisioner mengambil tugas itu daripada Datuk Kamarul Zaman Mamat yang dilantik Timbalan Pengarah (Pelucuthakan/Harta/Perundangan/Tahanan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata laporan bedah siasat mendapati kematian Mohamad Thaqif Amin adalah disebabkan penyakit kencing tikus dan bukannya akibat kecederaan lain.

Mohamad Thaqif Amin dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail pada 19 April lalu selepas dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian kaki yang didakwa akibat dipukul pembantu warden madrasah tahfiz.

Selepas kedua-dua kakinya dipotong pada 22 April lalu, tangan kanan Mohamad Thaqif Amin pula dijangkiti kuman akibat darah beku dan dijadual dipotong dari jari hingga bawah siku.

Bagaimanapun, pembedahan ditangguhkan kerana jantung pelajar itu dilaporkan tidak stabil sebelum pelajar itu meninggal dunia pada 26 April lalu.

Susulan kejadian itu pembantu warden pusat tahfiz terbabit ditahan untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

 

-BH ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");