Berita Hari Ini

Majikan Wajib Beri Hari Kelepasan Am Berbayar 9 September – Riot

PUTRAJAYA: Kerajaan menetapkan majikan wajib memberi hari kelepasan am berbayar kepada pekerja seluruh negara pada 9 Sept ini bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhamad V.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata perkara itu termaktub dalam seksyen 60D (1)(a) Akta Kerja 1955, Seksyen 103(1)(a) Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan seksyen 104 (1)(a) Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Riot berkata sekiranya Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong XV itu jatuh pada hari cuti rehat, maka hari bekerja berikutnya hendaklah menjadi hari kelepasan am berbayar sebagai ganti bagi hari kelepasan tersebut.

“Bagi pekerja yang mempunyai cuti rehat lebih daripada sehari, hari terakhir bagi cuti rehat tersebut merupakan ‘cuti rehat’ bagi maksud ini,” katanya memetik laporan Bernama.

Kerajaan telah bersetuju sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V bagi 2017 dipinda kepada 9 Sept (Sabtu) daripada 29 Julai.

Bagi Sarawak yang telah mengisytiharkan hari Sabtu, 9 Sept ini sebagai Hari Jadi Yang Dipertua Negeri Sarawak, Riot berkata tiada hari kelepasan am berbayar tambahan diberi sebagai cuti gantian.

“Ketidakpatuhan kepada undang-undang ini merupakan satu kesalahan dan jika disabitkan, majikan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 menurut seksyen 99A Akta Kerja 1955; Seksyen 130M Ordinan Buruh (Sabah Bab 67); dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76),” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");