Isu Panas

Rakyat Perlu Buat Perubahan Pada Negara

SHAH ALAM – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat melakukan perubahan dan reformasi institusi secara besar-besaran untuk memulihkan negara.

Katanya, kuasa perubahan berada di tangan rakyat dan masanya telah tiba untuk melakukan perubahan itu.

“Masanya telah tiba untuk melakukan perubahan, kerana kuasa di tangan rakyat. Apatah lagi jika rakyat dipayungi institusi raja. Bak kata pepatah, rakyat dan raja berpisah tiada. Bangkitlah bersama selamatkan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan lapor Sinar Harian.

Muhyiddin menyatakan gesaan itu sebagai maklum balasnya berhubung kenyataan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai keadaan Malaysia hari ini.

“Saya membaca dengan tekun kenyataan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor mengenai keadaan Malaysia hari ini. Apa sudah jadi dengan Malaysia?

“Walaupun hakikatnya amat perit untuk diakui, namun terasa sedikit terhibur hati saya apabila hal yang saya sering perkatakan dan perjuangkan turut disuarakan oleh seorang tokoh istana.

“Saya secara peribadi menjunjung kasih dan merafakkan sembah tahniah di atas keberanian Tunku Mahkota Johor menyatakan kebenaran.

“Ini membayangkan keprihatinan beliau terhadap keadaan negara dan nasib bukan sahaja rakyat negeri Johor tetapi rakyat Malaysia seluruhnya,” katanya.

Beliau berkata lagi, keluhan Tunku Mahkota Johor mengenai keadaan negara pernah disuarakan oleh institusi Raja-Raja Melayu sebelum ini, namun, teguran ini dipandang sepi oleh pimpinan negara.

“Titah Raja-Raja Melayu dan suara istana seola-olah tidak diendah oleh kerajaan. Dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan setiap pandangan dan teguran institusi raja-raja perlu dipandang serius oleh kerajaan.

“Apa yang diluahkan oleh Tunku Mahkota Johor bukan sahaja suara hati beliau, tetapi juga suara hari rakyat terbanyak,” katanya.

Muhyiddin berkata, banyak pihak termasuk orang asing di luar negara menyuarakan rasa hairan bagaimana Malaysia yang amat dihormati suatu ketika dahulu berubah dengan sekelip mata menjadi bahan cemuhan masyarakat antarabangsa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");