Jenayah

Tular Lelaki Bergaduh Dengan Pengawal, Dianggap Sudah Selesai Dengan Cara Baik

SUBANG JAYA: Kes pergaduhan antara seorang lelaki dengan tiga pengawal keselamatan di sebuah kondominium di sini, yang videonya menjadi tular sejak semalam, dianggap sudah selesai apabila pengadu menarik balik laporan polis dan mereka saling bermaafan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata pengadu seorang lelaki berusia 53 tahun sebelum itu membuat laporan polis berhubung kejadian pada jam 6.40 petang semalam di Balai Polis USJ18.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian mulanya berpunca apabila pengawal keselamatan bertugas menghalang seorang lelaki berusia 20 tahun daripada masuk berikutan sudah dimaklumkan lebih awal oleh penghuni di sebuah unit di situ.

Tindakan itu menyebabkan suspek berang sebelum berlaku pertengkaran dengan pengawal bertugas hingga berlaku pergaduhan.

“Dalam kejadian ini, dua rakan mangsa (pengawal keselamatan) datang membantu lalu memukul lelaki berkenaan dengan menggunakan cota.

“Hasil siasatan, lelaki itu dikatakan pernah menetap bersama keluarganya di kondominium berkenaan dan mereka saling mengenali antara satu sama lain.

“Justeru, apabila dihalang masuk dan naik (ke kondominium), lelaki itu memberontak hingga berlaku pergaduhan antara mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Mohammad Azlin berkata, pengadu bertindak menarik balik laporan pada jam 9.51 malam hari sama atas alasan pengawal itu mengenali keluarga suspek malah, mereka juga sudah bermaafan.

Katanya, pengadu juga memohon polis tidak mengambil sebarang tindakan berhubung kejadian itu.

Terdahulu, empat rakaman video serta dua keping gambar pergaduhan itu tersebar di media sosial dan sudah ditonton kira-kira 6.2 juta pelayar Facebook dengan 48,000 perkongsian.

Menerusi video itu, seorang lelaki dilihat bertengkar dengan seorang pengawal keselamatan sebelum lelaki itu menendang kaki kiri pengawal berkenaan.

Kemudian, dua lagi pengawal keselamatan datang dengan salah seorang daripada mereka memukul lelaki itu menggunakan cota sebelum mengikat tangan lelaki itu.

 

-BH ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");