Jenayah

21 Didakwa Sertai Kumpulan Jenayah Terancang

GEORGE TOWN – Seramai 21 lelaki termasuk seorang remaja didakwa menjadi anggota sebuah kumpulan jenayah terancang ‘Geng 04 India Pulau Pinang’ sejak 2015 hingga Julai tahun ini.

Kesemua mereka yang berumur 17 hingga 57 tahun itu mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Norsalha Hamzah, namun tiada pengakuan direkodkan.

Seramai 20 daripada mereka termasuk remaja berkenaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini manakala seorang lagi tertuduh, B. Kannan, 47, didakwa di Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana sedang menerima rawatan dipercayai menghidap sawan.

Tertuduh lain ialah remaja berusia 17 tahun terbabit; David Charles Anthony Dass, 21; G. Devathirran, 23; K. Gogulan Nair, 23; S. George Sabatian, 23; S. Pavithren, 23; E. Vimaleshwar, 26; G. T. Thinagaraju, 29; K. Murali, 33; S. Somasundram, 34; S. Thannimalai, 35; S. Gunaseelan, 35; R. Jeegendran, 37; G.G. Prabakaran, 39; L. Luke Stevenson, 41; S. Manivenam, 42; P. Muneesparan, 50; R.M. Balakrishnan, 56; G. Selvarajoo, 57, dan s. Ragindran, 57.

Kesemua mereka dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang geng berkenaan dalam daerah Timur Laut sejak 1 Jan 2015 hingga 29 Julai tahun ini.

Mereka didakwa mengikut Subseksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Norsalha kemudiannya menetapkan 14 Sept ini sebagai sebutan semula kes dan kesemua mereka tidak dibenarkan diikat jamin.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin dan Muhammad Fadzlan Mohd Noor manakala hanya 12 tertuduh diwakili peguam. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");