Jenayah

Datuk Antara Tiga Individu Ditahan Terlibat Penipuan Forex

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman telah menahan tiga individu termasuk seorang bergelar Datuk kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penipuan skim pelaburan pertukaran mata wang asing (forex) membabitkan nilai kerugian mencecah RM39.6 juta

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata ketiga-tiga individu terbabit termasuk dalang utama sindiket berkenaan yang bergelar Datuk ditahan dalam operasi yang dijalankan sejak tiga hari lalu.

“Operasi bermula pada Selasa lalu hingga lewat malam semalam, kita telah tahan mereka di Maran, Pahang dan Kota Bharu, Kelantan.

“Kesemua suspek menawarkan skim pelaburan forex dengan keuntungan 10% setiap minggu selama 4 tahun.

“Sebanyak 114 laporan polis telah dibuat ke atas syarikat MGC Capital Sdn Bhd bermula pada Februari tahun lalu sehingga bulan Julai 2017,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Acryl berkata sebanyak 20 kertas siasatan telah pun dibuka berkaitan penipuan terbabit.

“Pembayaran pelaburan oleh mangsa dibuat ke akaun Maybank menggunakan nama MGC Capital Sdn Bhd dan pendaftaran dibuat melalui laman web www.mgcforex.com.

“Kita kesan syarikat ini telah mula beroperasi sejak bulan Jun 2014 dan sekitar Ogos 2015 pembayaran telah mula gagal dibuat,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan mengenai tangkapan tiga individu terbabit menerusi akaun Twitter miliknya, malam tadi.

 

-BH ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");