Isu Panas

Pas Tubuh Jawatankuasa Khas, Bela Mangsa Tragedi Memali

KOTA BHARU: Susulan pertimbangan kerajaan bagi menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) berhubung tragedi Memali, Pas telah mewujudkan satu Jawatankuasa Khas Untuk Membela Mangsa Tragedi Memali di sini hari ini.

Setiausaha Agongnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dibuat setelah Lajnah Politik Pas Pusat mengadakan mesyuarat semalam dan jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan Naib Presidennya, Idris Ahmad.

Menurutnya, mesyuarat berkenaan juga memutuskan membentuk Pasukan Khas Peguam yang diterajui Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Pas Pusat bagi membantu pihak terlibat dalam peristiwa tersebut dari sudut perundangan.

“Jawatankuasa ini akan bertindak segera mengendalikan perkara ini termasuk membawa waris-waris mangsa tragedi Memali bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam waktu terdekat.

“Ini adalah untuk mengemukakan aduan rasmi memohon RCI ditubuhkan dan dijalankan seberapa segera memandangkan tragedi ini telah berlaku 32 tahun yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan lapor Sinar Harian.

Dalam hal itu juga, beliau mengharapkan RCI yang ditubuhkan nanti dapat menyelesaikan segera kekeliruan tentang peristiwa malang tersebut dan juga membela nasib serta hak semua pihak teraniaya ekoran kejadian itu.

Sebelum ini, kerajaan menerusi Ahmad Zahid mengumumkan sedia mempertimbangkan penubuhan RCI bagi menyiasat semula tragedi berdarah Memali berlaku pada 19 November 1985 di Baling, Kedah yang mengorbankan 10 orang termasuk empat anggota polis.

Justeru itu, Pas menyambut baik dan menyokong langkah kerajaan itu kerana ia wajar selaras dengan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 8 iaitu bagi setiap rakyat mendapat hak dan perlindungan yang sama di sisi undang-undang.

Sebelum ini, Pas telah menggesa kerajaan menubuhkan RCI bagi menjelaskan perkara sebenar mengenai peristiwa tersebut yang mana sejak 32 tahun lalu terlalu banyak spekulasi dan tuduh menuduh berlaku berikutan tiada siasatan semula secara telus.

Berhubung kait dengan peristiwa Memali juga, telah berlakunya kekecohan pada forum Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam, yang diadakan baru-baru ini apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan jawapan tidak memuaskan berkaitan tragedi tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");