Berita Hari Ini

TH Perjelas Isu Tular Hari Wukuf

MAKKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) meminta jemaah haji Malaysia dan rakyat di tanah air supaya tidak mempercayai mesej yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu, berhubung tarikh penetapan Hari Wukuf yang kononnya pada Jumaat, 1 September.

Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman, menjelaskan bahawa semua tarikh tahun hijrah termasuk penetapan Hari Wukuf dan Hari Raya Aidiladha bergantung kepada kalendar ummul qura’ (kalendar hijrah) yang diguna pakai bersama dengan kerajaan Arab Saudi.

“Jadi, kalau mengikut kalendar ummul qura’, Hari Wukuf pada 9 Zulhijah itu jatuh pada 31 Ogos 2017 iaitu pada Khamis,” katanya di Ibu Pejabat Tabung Haji di Hotel Abraj Al-Janadriyah di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian bagi memperjelas mesej yang viral dalam kalangan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci ini, serta rakyat di tanah air sejak beberapa hari lalu, mengenai penetapan hari wukuf itu.

Mesej berkenaan kononnya menyatakan pihak kerajaan Arab Saudi memutuskan Rabu, 23 Ogos sebagai 1 Zulhijah dan Hari Wukuf pada Jumaat, manakala Hari Raya Aidiladha pada Sabtu, 2 September.

Mengulas lanjut, Syed Saleh berkata pada setiap tahun, kerajaan Arab Saudi akan melihat anak bulan sebelum mengisytiharkan bulan baharu dalam kalendar Islam.

“Misalnya pada bulan Zulhijah nanti, mereka (kerajaan Arab Saudi) akan melihat anak bulan pada 21 Ogos ini untuk menentukan sama ada keesokan harinya 30 Zulkaedah atau 1 Zulhijah, iaitu bulan baharu.

“Daripada itu, ??????kita boleh tahu tarikh hari wukuf dan Aidiladha nanti. Saya berharap kita tunggulah pengisyhtiharan secara rasmi daripada kerajaan Arab Saudi,” katanya, lapor Bernama.

Wukuf di Arafah adalah hari kemuncak haji.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");