Sukan Hari Ini

FMLLP, FAM Fokus Kukuhkan Kewangan Pasukan

KUALA LUMPUR: Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) sedang memberi fokus untuk mengukuhkan kedudukan kewangan menerusi pendekatan komersial bagi semua pasukan yang bertanding dalam Liga buat masa ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam menyatakan pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membantu semua pasukan mengukuhkan kedudukan kewangan masing-masing sebelum beberapa agenda utama yang lain dapat dilaksanakan.
Ini berikutan masalah yang sering membelenggu pasukan Liga M kebanyakannya berpunca daripada faktor kewangan jadi masalah ini perlu diselesaikan terlebih dahulu.
“FMLLP dan FAM sedang fokus untuk meningkatkan tahap pengkomersialan semua pasukan supaya mereka dapat menjana kewangan pada kedudukan yang lebih baik.
“Tidak ada gunanya jika kita memaksa mereka melakukan perkara yang teknikal jika masalah kewangan ini tidak diatasi terlebih dahulu. Jika tidak, semua perancangan akan terbengkalai separuh jalan sahaja.
“Sebab itulah, kita melihat dasar pengkomersialan adalah satu perkara yang begitu penting kerana manfaatnya begitu besar kepada semua pasukan.
‘Kita sedang menuju ke arah yang betul untuk meningkatkan pengkomersialan ini,” katanya ketika dihubungi BH Online, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai dasar penswastaan pasukan yang mula dilaksanakan pada tahun hadapan, Kevin menjelaskan pasukan masih boleh mengharapkan suntikan dana daripada kerajaan negeri namun bukanlah pergantungan secara sepenuhnya.
“Pasukan masih boleh menerima bantuan kewangan daripada kerajaan negeri kerana mereka bertanding atas nama negeri namun bentuknya perlu lebih profesional contohnya menerusi penajaan ataupun pemasaran untuk pasukan yang menyuntik dana terbabit.
“Kita mahukan kedua-dua pihak memperoleh situasi ‘menang-menang’ kerana situasi ini membabitkan pelaburan daripada kerajaan negeri. Keuntungan yang dijana sudah pasti akan memberi petanda positif kepada kedua-dua pasukan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");