Berita Hari Ini

Golongan Muda Daftar Mengundi Masih Rendah

PUTRAJAYA: Kesedaran dalam kalangan golongan muda berusia 21 hingga 39 tahun untuk mendaftar sebagai pengundi masih rendah jika dibandingkan dengan kumpulan umur lain, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata daripada 30,000 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang didekati SPR dalam Program Pendidikan Pengundi sejak Februari lepas, hanya 2,700 orang atau kurang daripada 10 peratus mendaftar sebagai pengundi.

Katanya isu itu terus membelenggu SPR walaupun pelbagai kempen kesedaran termasuk pendekatan turun padang dijalankan pihaknya supaya golongan itu menggunakan hak mereka sebagai warganegara untuk mengundi.

“Pelbagai alasan mereka, ada yang kata tidak tahu tempat mendaftar, tidak mahu terlibat dalam politik kerana beranggapan daftar mengundi sebagai terlibat dalam politik dan ada juga berkata satu undi tidak membawa makna.

“Terdapat sebuah universiti ada 5,000 pelajar berumur 21 tahun dan yang mendaftar (sebagai pengundi) 2,000 orang sahaja,” katanya selepas melancarkan aplikasi semakan status daftar pemilih MySPR Semak dan sambutan ke-60 SPR, di sini hari ini.

Menurut laporan Bernama, Mohd Hashim juga berkata kaedah terbaik juga harus dicari bagi membolehkan pelajar IPT yang telah mendaftar sebagai pengundi untuk pulang mengundi di kawasan pilihan raya masing-masing.

“Ini yang kita perlu bincang dengan pihak IPT untuk mereka balik mengundi kerana jika kita bersungguh-sungguh meminta mereka mendaftar, tetapi tidak bermakna jika mereka tidak keluar mengundi,” katanya.

Mengenai aplikasi itu, Mohd Hashim berkata ia adalah inisiatif SPR bagi memudahkan semakan status pendaftaran pemilih dan tempat mengundi bagi pilihan raya umum (PRU), pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK).

Di samping itu, warganegara Malaysia juga boleh menyemak status calon yang bertanding mengikut bahagian pilihan raya yang dipertandingkan dan menyemak keputusan PRU dan PRN.

MySPR Semak boleh dimuat turun melalui Play Store dan App Store bermula hari ini.

Ditanya sama ada SPR bersedia menjemput pemerhati luar negara pada PRU14 nanti, Mohd Hashim berkata hanya pemerhati dari negara yang pernah menjemput SPR sebagai pemerhati sahaja akan dijemput.

“Kita pergi tempat dia bukan tengok sahaja, tetapi kita mengadakan perbincangan dan berkongsi pengalaman, jadi kita jemput orang yang jemput kita. Balas semula,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");