Jenayah

Lelaki Bangladesh Maut Ditikam Gaduh Rakan Senegara

NIBONG TEBAL – Seorang buruh binaan warga Bangladesh maut selepas ditikam rakan senegaranya dalam kejadian di tapak projek perumahan Kampung Selamat di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafee Abdul Samad berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa lelaki dikenali sebagai Siraz, 22, maut di tempat kejadian selepas ditikam di bahagian dada dengan pisau oleh suspek.

“Berdasarkan siasatan, mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan bersama suspek di tapak projek perumahan itu sedang memindahkan barang peribadi mereka daripada rumah kongsi di sebuah lagi tapak projek perumahan di Jalan Selamat, Sungai Bakap ke situ.

“Suspek yang berusia 30 tahun itu telah meminta mangsa mengembalikan semula wayar penyambung yang dipinjamnya sebelum berlaku pertengkaran mulut di antara mereka,” katanya di sini hari ini.

Katanya pertengkaran mereka kemudiannya berlarutan sehingga suspek bertindak mengambil pisau dan terus menikam dada mangsa beberapa kali.

Shafee berkata selepas ditikam, mangsa berlari keluar dalam keadaan berlumuran darah dari rumah kongsi itu untuk meminta pertolongan daripada rakan-rakan lain sebelum dia dilihat rebah.

Katanya pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di dada dan dipercayai tikaman pisau tersebut terkena jantungnya.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk dibedah siasat,” katanya.

Beliau berkata susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki Bangladesh di tapak pembinaan berkenaan bagi membantu siasatan dan kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");