Perak Hari Ini

Pencapaian Sosioekonomi Negara, Dinilai Dari Statistik Tepat-Sultan Perak

SUNGKAI:Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa pengetahuan dan kesedaran berkaitan ilmu statistik sangat relevan di dalam kehidupan masa kini.

Titah baginda, setiap pencapaian sosioekonomi sesebuah negara dapat dinilai dan dipantau melalui statistik malah ia dijadikan rujukan untuk memandu kerajaan ketika merangka pelbagai rancangan pembangunan.

“Statistik mula berperanan dalam pembangunan sosioekonomi di Tanah Melayu dan Borneo, pada tahun-tahun sembilan belas, tiga puluhan (1930an) melibatkan pengumpulan data rasmi perdagangan luar negeri dan pertanian, dilakukan sejajar dengan aktiviti pertanian sebagai sumber utama ekonomi negara ketika itu.

“Negara kini sedang berhadapan ‘Gelombang Revolusi Perindustrian Keempat’; gelombang revolusi yang menuntut agar segenap lapisan masyarakat memiliki maklumat yang relevan, tepat, lagi terkini.

“Revolusi pantas teknologi maklumat dan komunikasi memberi impak besar kepada teknologi digital iaitu hampir lima puluh peratus warga dunia berusia lima belas tahun ke atas, menggunakan Internet,” titah baginda pada titah perasmian Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) Jabatan Perangkaan Malaysia Sungkai di sini hari ini.

Titah Baginda ledakan maklumat yang terhasil pada masa ini menyaksikan pelbagai maklumat begitu mudah diakses dalam laman web melalui pelbagai peranti elektronik.

“Sehingga Jun 2017, tercatat 2.01 bilion pengguna Facebook; bilangan pengguna terus meningkat, lima profil pengguna baru, didaftarkan setiap saat,  dan hampir tiga puluh peratus (29.7 peratus) pengguna Facebook, berusia antara 25 hingga 34 tahun, Google memproses lebih 40,000 carian setiap saat, menyamai 3.5 bilion carian sehari.

“Facebook dan Google, mempamerkan kekayaan maklumat yang boleh diperolehi dan dijadikan sumber rujukan berharga oleh pelbagai pihak.

“Gelombang yang dinamakan Big Data, dikenal pasti sebagai sumber yang berpotensi membantu meningkatkan keupayaan membuat keputusan berasaskan fakta,” titah Baginda.

Titah Sultan Nazrin, keadaan itu bukan sahaja menuntut kepada perlunya proses pengumpulan data dilakukan secara moden dan lengkap, malah turut menuntut agar penyebarannya dilakukan secara segera lagi meluas, disampaikan dengan ringkas, padat dan interaktif, agar statistik yang sahih dapat membantu ke arah merumuskan keputusan yang tepat.

“Pentafsiran yang tidak tepat boleh mengundang kepada berlakunya perancangan yang silap, atau perumusan keputusan yang salah, mengakibatkan berlakunya perancangan yang tidak tepat serta tindakan yang tidak bijak; dan pada akhirnya gagal memenuhi matlamat yang disasarkan.

“Terdapat tiga faktor amat perlu diikuti untuk membolehkan statistik berperanan sebagai instrumen yang benar-benar dapat membantu, demi memastikan perancangan dapat dirangka  secara tepat dan betul, agar tidak akan mencetuskan masalah kepada para pelaksana.

“Faktor pertama, Statistik hendaklah dikumpul secara menyeluruh dan komprehensif,-kedua,Statistik dibentangkan secara konsisten setelah disemak ketepatan dan kesahihan data dengan teliti dan ketiga ,statistik ditafsiri secara objektif dan jujur tanpa bersifat selektif dan tanpa sebarang prejudis,” titah baginda.

Titah baginda lagi, penubuhan Institut Latihan Statistik Malaysia amat bertepatan dalam hasrat mahu memperkukuhkan daya saing dan tahap kepakaran sumber insan dalam bidang statistik.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");