Sukan Hari Ini

PKNP Tidak Rasa Malu

IPOH: Tidak ada apa yang harus dimalukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC berikutan kegagalannya ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

Sebaliknya anak buah Abu Bakar Fadzim masih boleh berbangga kerana sebagai pasukan kerdil  mereka mampu membuat  lawan ternama seperti FELDA United FC kecut perut buat seketika.

Keberanian pemain PKNP FC jelas terserlah ketika menang 3-1 ke atas lawan pada perlawanan pertama di Stadium Tun Razak, Jengka.

Walaupun ramai mendoakan kejayaan kelab Liga Perdana itu di pusingan kedua tetapi umum juga sedar ranjau menanti kerana FELDA United terlalu berpengalaman serta memiliki pemain berkualiti.

Hakikat itu diakui Abu Bakar ketika mengimbau kekalahan 1-4 anak buahnya di Stadium Shah Alam, Ahad lalu yang menyaksikan PKNP FC tersingkir dengan agregat 5-4.

“Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan dalam kempen pertama kali Piala Malaysia kami. Kami berjaya menjuarai Kumpulan A dan layak hingga ke suku akhir sebelum disekat FELDA United yang serba lengkap,” kata Abu Bakar.

Menurutnya, kesilapan mudah dan rasa gugup apabila menghadapi tekanan adalah faktor kekalahan PKNP FC.

“Keyakinan pemain hilang apabila FELDA mendapat gol pertama dan terus memberi tekanan hingga kami bolos dua lagi gol pada 10 minit terakhir separuh masa pertama. Nasib juga nyata tidak menyebelahi kami apabila satu peluang terkena palang,” katanya.

Kini Abu Bakar mahu anak buahnya melupakan kekecewaan di Shah Alam dan fokus pada satu lagi misi besar mereka iaitu layak ke Liga Super 2018.

Berbaki dua perlawanan, PKNP FC ketika ini menduduki tangga ketiga di belakang Kuala Lumpur dan Terengganu dengan mengutip 40 mata dan mereka akan berdepan Kuantan FA selepas ini.

“Lupakan apa yang berlaku di Shah Alam, kami perlu menang ke atas Kuantan FA untuk terus memberi tekanan kepada dua pasukan teratas itu,” katanya

Begitupun jurulatih itu sedar kelebihan berpihak kepada Kuala Lumpur dan Terengganu yang hanya perlu mencatat satu kemenangan daripada baki dua perlawanan untuk mengesahkan kemaraan ke Liga Super 2018.

Jika menang, kedua-dua pasukan itu akan mengumpul 47 mata tanpa boleh digugat mana-mana pasukan termasuk Negeri Sembilan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");