Jenayah

Tahfiz Terbakar Tidak Penuhi Spesifikasi Keselamatan – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR: Bangunan pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, di sini yang terbakar awal pagi tadi dilaporkan tidak memenuhi spesifikasi keselamatan yang ditetapkan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata tinjauannya bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di tempat kejadian mendapati premis itu hanya mempunyai satu laluan keluar, sekali gus berbahaya terhadap keselamatan penghuni jika terjadi kecemasan.

“Pemilik dan pengurusan pusat tahfiz berkenaan juga didapati tidak mempunyai kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta DBKL untuk menjalankan aktiviti pengajian tahfiz di premis itu.

“Kadang-kadang bila kita tegur dan suruh tutup sesebuah premis, saya dan DBKL dimarahi dan dikatakan tidak adil. Sebenarnya, kita tidak mahu perkara seperti ini berlaku,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, lapor Bernama.

Pusat tahfiz itu mempunyai 36 pelajar dan enam guru yang menginap di pusat tahfiz berkenaan apabila kebakaran yang belum dipastikan puncanya berlaku pukul 5.15 pagi ini.

Seramai 22 pelajar berumur antara 13 dan 17 tahun serta dua warden sehingga kini dilaporkan maut dalam kejadian itu, iaitu kebakaran terbesar dilaporkan tahun ini melibatkan kematian yang tinggi.

Tengku Adnan turut mengucapkan takziah kepada kesemua keluarga mangsa yang terlibat dan bersedia memberikan bantuan sewajarnya kepada semua mangsa.

Susulan kejadian itu, Tengku Adnan juga mengarahkan kementeriannya serta DBKL untuk segera menjalankan pemeriksaan terhadap semua pusat tahfiz di ibu negara dan Putrajaya bagi menjamin keselamatan penghuni yang kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan pula berkata pusat tahfiz persendirian itu berdaftar dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Saya menyeru mana-mana tahfiz persendirian supaya mendaftar dengan kementerian supaya mudah untuk kami memantau aktiviti tahfiz terbabit,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");