Isu Panas

‘Demokrasi Era Tun M Lagi Teruk’ – Mas Ermieyati

KUALA LUMPUR: Himpunan “Wanita Bantah Politik Toksik” yang dianjurkan sekumpulan aktivis wanita hujung minggu lalu bersifat dangkal dan tidak mencerminkan situasi sebenar politik negara, kata Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Katanya, kebanyakan isu yang ditimbulkan ditangani dengan baik oleh kerajaan dari semasa ke semasa.

Beliau mengecam isteri bekas perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali yang menyertai dan malah turut berucap pada himpunan itu.

Siti Hasmah dalam ucapannya pada himpunan itu antara lain menyentuh insiden pengarah filem Datuk David Teo ditampar di tempat awam dengan berkata, situasi seumpama itu tidak akan berlaku pada “zaman dulu”.

Beliau juga berkata keadaan kini semakin membimbangkan apabila seseorang mungkin dikasari hanya kerana menyuarakan pendapat.

Namun Mas Ermieyati berkata keadaan sebenarnya lebih teruk di era Tun Dr Mahathir mentadbir negara.

“Jangan lupa sewaktu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih wujud di bawah kepimpinan suami beliau, kita dapat melihat betapa ramai mulut terkunci kerana tidak boleh berbuat apa-apa disebabkan tidak adanya semangat demokrasi.

“Adakah mereka mahu kerajaan mewujudkan semula ISA atau membuat akta baru bagi menyelesaikan isu ‘politik toksik’ yang dibawa?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 10 September lalu, Siti Hasmah bersama-sama 1,000 peserta, hampir semuanya wanita dan berbaju ungu, berarak ke Pusat Beli Belah Sogo bagi membantah ‘politik toksik’ seperti seksime, perkauman dan keganasan dalam politik.

Antara aktivis yang menyertai himpunan itu adalah Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah, bekas presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan dan Pemimpin G25 Datuk Noor Faridah Ariffin.

Sementara itu, menurut laporan portal Malaysiakini, Mas Ermieyati juga mempersoalkan sama ada mereka lupa tentang ahli dewan undangan negeri Penanti Dr Norlela Ariffin yang menurutnya dibuli dan dicerca kerana mempertahankan nasib penduduk di kawasannya.

Adun PKR itu baru-baru ini menerima kritikan penyokong Pakatan Harapan kerana membangkitkan isu kilang haram di kawasan DUN Penanti.

Tindakannya itu menyebabkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan dan menahan exco Pulau Pinang Phee Boon Poh atas tuduhan rasuah.

“Perkara ini lebih memalukan golongan wanita secara keseluruhannya dan perlu ditangani terlebih dahulu sebelum mahu bertindak mewakili rakyat Malaysia dalam membuat bantahan umum,” katanya.

“Saya mahu rakyat di luar sana menilai adakah tindakan berarak di atas jalan raya bagi menzahirkan perjuangan ‘wanita bantah politik toksik’ ini selari dengan tindakan pihak pembangkang menyelesaikan kemelut melibatkan golongan wanita selama ini,” ujarnya, menurut laporan Astro Awani.

Tegasnya, kesangsian yang wujud di dalam mindanya berhubung hala tuju wanita yang mahu digerakkan dalam perarakan itu pastinya dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia.

“Persoalan yang masih jelas, adakah mereka mahu kerajaan mewujudkan semula ISA atau membuat akta baru bagi menyelesaikan isu Politik Toksik yang dibawa?” soalnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");