Sukan Hari Ini

V Shem-Wee Kiong Perlu Ketepi Ego Masing-Masing

KUALA LUMPUR: Sebagai bekas pemain beregu lelaki negara dan pernah berada di puncak karier satu ketika dulu, Koo Kien Keat percaya bahawa masalah yang dihadapi oleh Goh V Shem-Tan Wee Kiong boleh diselesaikan dengan cara baik.
Menurut naib juara Kejohanan Dunia 2010 itu, apa yang dilalui oleh V Shem-Wee Kiong pernah dialaminya satu ketika dulu.
“Dulu saya pun mempunyai masalah dengan gandingan saya, Tan Boon Heong tapi kita tanya kepada diri masing-masing adakah sasaran dan hala tuju kita masih lagi sama,” katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini. 
Katanya, sebelum ini sasaran dan hala tujunya dengan Boon Heong sentiasa sama cuma ada perbezaan pendapat ketika berada di dalam gelanggang.
“Paling penting ialah sasaran dan hala tuju kita sama. Jika impian dan tujuan sama barulah kita teruskan (kekal bergandingan).
“Mereka (V Shem-Wee Kiong) seharusnya berbincang kerana bagi saya mereka adalah gandingan yang mantap kalau tidak macam mana boleh menang pingat Olimpik,” kata Kien Keat.
Bekas pemain nombor satu dunia itu, berkata V Shem-Wee Kiong harus bijak untuk berdepan masalah ini.
“Saya tidak tahu puncanya dari siapa tapi semua lelaki mempunyai ego masing-masing. Ego ini sepatutnya disimpan dan diketepikan.
“Bincang dan berikan pendapat masing-masing baru fikir untuk melakukan perubahan. Jika pendapat masih sama tidak perlu membuat apa-apa pertukaran,” katanya.
Kien Keat yang pernah berada dalam pasukan yang sama dengan V Shem-Wee Kiong di Piala Thomas 2016 mengakui kedua-dua pemain itu harus memperbaiki persefahaman masing-masing.
“Pertama sekali kita biarkan mereka selesaikan masalah ini di antara mereka, jika tidak berhasil barulah memanggil pihak ketiga untuk menjadi orang tengah.
“Orang ketiga ini sepatutnya dipercayai oleh V Shem-Wee Kiong barulah mereka akan menceritakan segala-galanya. Individu ini adalah orang yang sangat mereka hormati jika tidak mereka tidak akan bercakap,” kata Kien Keat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");