Jenayah

Wanita Ugut Penguat Kuasa MPSJ Beri Keterangan

SERDANG: Wanita yang dirakam bertekak dengan seorang penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sambil memegang besi kunci stereng kereta yang videonya viral kelmarin tampil memberi keterangan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata wanita berusia 40-an itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang bersama suaminya, 50-an, pada jam 11 malam semalam untuk direkodkan keterangan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

Katanya, pihaknya kini sedang dalam proses untuk melengkapkan siasatan kes berkenaan sebelum dirujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya esok.

“Kedua-dua mereka (suami isteri) itu sudah dirakam percakapan mereka malam tadi ketika hadir di pejabat pegawai penyiasat IPD Serdang.

“Tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung kejadian itu. Suami wanita itu juga mempunyai kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian jam 1 tengah hari Rabu lalu, wanita terbabit dirakam memarahi seorang anggota MPSJ selepas tayar keretanya dikunci kerana dipercayai meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan di Jalan Puteri, Bandar Puteri Puchong, Puchong.

Selain memarahi anggota berkenaan, wanita itu turut memegang besi pengunci stering keretanya sambil bertekak.

Anggota MPSJ itu kemudian memaklumkan kejadian kepada polis selain mengeluarkan saman atas kesalahan lalu lintas dan menunda kereta wanita terbabit ke Depoh Tunda MPSJ di Puchong

Pada hari sama, suami wanita itu tampil ke depoh tunda dan membayar denda sebanyak RM190 selain memohon maaf atas tindakan isterinya itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan ugutan jenayah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");