Berita Hari Ini

16 Barang Disenarai Dalam Skim Kawalan Harga

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menguatkuasakan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2017 bermula 13 hingga 22 Oktober sebagai langkah menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan tersebut.

Pengarah KPDNKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ummi Nasrah Othman berkata, tempoh kuat kuasa bagi skim ini adalah selama 10 hari, bermula lima hari sebelum perayaan, sehari pada hari perayaan dan empat hari selepas perayaan.

Menurutnya, pelaksanaan skim itu adalah tertakluk di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Kementerian mengenal pasti 16 jenis barangan bagi pelaksanaan skim kawalan harga ini yang terdiri daripada telur ayam, sayuran, ayam, barang kering dan daging kambing.

“Peniaga diwajibkan menjual barang dengan harga terkawal dan tidak melebihi harga maksimum ditentukan oleh kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi membezakan barangan terkawal dengan barangan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Walkabout Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2017 di Pasar Sentul, semalam.

Mengulas lanjut katanya, 553 premis diperiksa bermula kelmarin hingga semalam dan melibatkan peniaga-peniaga di pasar basah.

Ummi Nasrah berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan-peraturan semasa pelaksanaan skim itu.

“KPDNKK akan membuat pemeriksaan dan pemantauan secara menyeluruh meliputi pasar awam, pasar tani, kedai runcit dan supermarket. Pada masa sama kita akan juga mendapat kerjasama daripada Friends of KDPNKK dan pihak awam untuk membantu memantau dan memberi maklum balas.

“Pengguna harus lebih bijak dalam membuat pilihan membeli selain boleh memuat turun aplikasi ‘Price Catcher’ bagi mendapatkan maklumat harga barangan di pasaran,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");