Berita Hari Ini

45 Pengganas Asing Ditahan – KPN

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 45 warga asing dipercayai terbabit dengan kegiatan keganasan yang dikategorikan sebagai ‘Foreign Terrorist Fighter’ (FTF) dalam beberapa siri operasi bermula Januari 2017 hingga 6 Oktober lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata tangkapan dilakukan berdasarkan maklumat bahawa pengganas dari pelbagai negara yang sebelum ini beroperasi di Iraq dan Syria mula menyusup keluar selepas kumpulan Daesh kehilangan sebahagian besar kawasan yang dikuasainya di Iraq dan Syria.

Beliau berkata, anasir itu juga diarahkan untuk menyusup masuk ke negara seluruh dunia untuk melancarkan serangan bagi pihak Daesh.

“Maklumat yang diperoleh mengesahkan wujud kumpulan pengganas asing yang bergabung dengan Daesh seperti kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dan Jamaatul Mujahideen dari Bangladesh mengarahkan anggotanya untuk melancarkan serangan di Malaysia.

“Sehubungan itu, kita berjaya mengesan dan seterusnya menahan 45 individu yang terbabit dalam FTF dalam beberapa siri tangkapan bermula Januari hingga 6 Oktober tahun ini.

“Daripada jumlah itu, sembilan individu dipercayai terbabit dengan kumpulan ASG, dan tiga individu daripada kumpulan Fetullah Turki yang disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Masing-masing seorang kita tahan dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas Albania yang mempunyai hubungan dengan Daesh dan kumpulan Jamaatul Mujahideen sementara baki 31 individu lagi terdiri daripada pelbagai warganegara yang disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas Daesh termasuk tiga rakyat Iraq yang menjadi Komander Daesh di selatan Iraq,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, anggota ASG yang memasuki negara ini disyaki merancang untuk melancarkan serangan di sini manakala yang lain menyusup masuk untuk berlindung, mengumpul dana dan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi untuk melancarkan serangan ke atas negara ketiga.

“Kita sudah tuduh seramai 13 suspek di mahkamah di bawah Bab VIA iaitu kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

“Seramai 12 suspek pula diusir ke negara asal untuk tindakan susulan pihak berkuasa negara berkenaan, seorang suspek dikenakan perintah tahanan di bawah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) sementara tujuh suspek sudah dibebaskan.

“Kita juga masih menjalankan siasatan terhadap 12 suspek,” kata Mohamad Fuzi.

Mohamad Fuzi berkata, kejayaan PDRM dalam operasi pembanterasan ini adalah hasil kerjasama mantap dengan agensi perisikan dan penguatkuasa asing daripada segi pertukaran maklumat risikan.

“Kita akan terus memantau dan mengambil tindakan bagi mengekang kehadiran anasir pengganas asing bagi memastikan sebarang cubaan serangan di negara ini oleh FTF dapat dipatahkan.

“Usaha untuk menangani ancaman anasir FTF bukanlah mudah, ia memerlukan kerjasama di antara PDRM dengan agensi penguatkuasa dan perisikan asing, sekiranya ia tidak dibendung, ancaman ini akan mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");