Membawang Hari Ini

Saya Juga Punya Hak Bersuara – Tiz Zaqyah

KUALA LUMPUR: Pelakon, Tiz Zaqyah menyuarakan kekecewaannya terhadap kepimpinan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), terutama apabila niatnya mempertahankan hak sebagai ahli diselar Presidennya, Zed Zaidi, semalam.

Tiz menerusi kenyataan yang dimuat naik menerusi Instagram berkata, sebagai ahli berdaftar, dia tertanya-tanya apa faedah yang diterimanya kerana tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang aktiviti dan perkembangan terkini persatuan.

Katanya, SENIMAN seharusnya mempunyai sistem tersusun yang menyatukan dan menjadi platform untuk didekati semua ahli.

“Saya bukan sesiapa, sebaliknya hanya ahli biasa tetapi saya juga mempunyai hak untuk bersuara kerana turut membayar yuran keahlian. Suara kecil saya memerlukan seseorang untuk mendengarnya, tetapi siapa?

“Saya memilih (bersuara) di media sosial kerana lebih telus. Saya tidak perlukan apa-apa jawatan dalam persatuan, cukup sebagai ahli yang ikhlas bertanya dan memberikan pendapat. Sudah tentu, saya juga mewakili ahli SENIMAN yang lain,” katanya

Tiz berkata, dia hanya berharap SENIMAN mengambil beberapa tindakan mudah dengan mengkaji waktu kerja, pelan kesihatan dan menangani kes seperti kru sakit dan meninggal dunia ketika di set penggambaran.

“Berapa ramai lagi yang akan ‘pergi’ disebabkan kerja berlebihan waktu? Saya kehilangan teman baik disebabkan cintanya terhadap kerjaya. Arwah terlampau komited dan sanggup tidak ke hospital untuk menyelesaikan kerjanya.

“Semua itu dilakukan demi mencari rezeki, minat dan keikhlasannya dalam industri. Maaf jika saya terkasar, tetapi saya terpaksa menyuarakannya kerana saya mengambil berat terhadap orang lain,” katanya.

Tiz berkata, dia juga kecewa dengan jawapan yang diterimanya kerana Zed sebagai ketua seharusnya melindungi dan menyokongnya, sebaliknya tindakannya itu dilabel sebagai banyak ‘cakap dan merungut’.

“Kami hanya penggiat seni yang memerlukan SENIMAN untuk menyokong. Dia sepatutnya berada di pihak kami dan menyokong fakta yang diberikan untuk membantu industri membangun.

“Kami memerlukannya dan mempercayainya untuk menjadikan semua ini kenyataan.

“Saya ingin melihat ada penambahbaikan dalam industri untuk industri dan kepada industri,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");