Berita Hari Ini

‘Anak Tempatan Layak Terajui MAS’

ALOR SETAR: Pergerakan Pemuda UMNO negeri menyokong sepenuhnya jika anak tempatan seperti tokoh industri penerbangan, Tan Sri Tony Fernandes diberi ruang oleh pihak kerajaan untuk mengemudi Malaysia Airlines (MAS).

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pihaknya yakin dan percaya sudah tiba masanya kerajaan memberi kepercayaan kepada tokoh tempatan itu bagi meneruskan legasi pemulihan MAS.

“Rekod cemerlang Tan Sri Tony yang berjaya menjadikan AirAsia sebagai “branding” terunggul negara seantero dunia adalah sandaran utama beliau perlu diberi kepercayaan tersebut.

“Kejayaan AirAsia selaku syarikat tambang murah terkenal rantau ini dan kini menjadi antara superbrand antarabangsa wajar dihargai,” katanya di sini hari ini, menurut laporan Utusan Online.

Tambah beliau, AirAsia sehingga kini dikendali oleh anak tempatan itu termasuk Datuk Kamarudin Meranum dan beberapa orang lain lagi dengan cemerlang.

“Dari sekadar sebuah syarikat yang dulunya dipandang enteng kini ia sudah menerjah awan biru, merentasi benua ke benua dengan lokasi dan destinasi penerbangan yang kian bertambah dari semasa ke semasa.

“Demikian juga bilangan pesawat dimiliki, aset tenaga kerja, keuntungan yang dicatat saban tahun. Kesemua ini menjadikan Tony antara tokoh terbilang dalam industri penerbangan,” katanya.

Jelasnya, selain itu beliau juga adalah antara tokoh industri penerbangan yang berjaya mentransformasikan AirAsia di tahap yang terbaik sekarang.

“Berasaskan pencapaian dan merit ini maka apakah tidak wajar Tony diberi ruang untuk memimpin MAS?

“Jika masa suatu ketika dahulu yang dikendali oleh anak tempatan seperti Tan Sri Aziz Abdul Rahman berjaya membuat keuntungan kenapa perlu kita beralih kepada orang luar untuk mengendalikan syarikat strategik negara seperti MAS?,” katanya.

Tambah beliau, Pergerakan Pemuda UMNO Kedah percaya tempoh perkhidmatan mereka (orang luar) yang pendek secara tidak langsung menggambarkan mereka tiada komitmen untuk memastikan pelan penstrukturan berjaya.

“Pergerakan Pemuda UMNO Kedah yakin anak tempatan lebih komited dan fokus menjayakan pelan ini berbanding rakyat asing,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");