Sukan Hari Ini

BAM Berani Mati?

NAMA Vountus Indra Mawan Saniru menjadi tajuk perbualan sejak beberapa hari lalu apabila beliau dilantik sebagai jurulatih baharu beregu lelaki negara bagi menggantikan Jeremy Gan.

Ada yang mengatakan Vountus begitu dan begini, malah tidak kurang juga menganggap pemilihan dia tidak sesuai berdasarkan faktor umurnya yang masih muda serta kurang berpengalaman sebagai jurulatih di peringkat senior malah hanya mencipta sedikit kejayaan di peringkat antarabangsa lapor Sinar Harian.

Ya, saya sendiri pun agak terkejut kerana kita masih memiliki beberapa calon seperti Yap Kim Hock dan Datuk Seri Jalani Sidek yang dilihat lebih layak berdasarkan tahap pencapaian mereka.

Namun pengumuman yang dibuat ketua jurulatih beregu lelaki itu dengan melantik Vountus memang di luar jangkaan.

Apa istimewanya Vountus yang tidak ada pada barisan jurulatih lain?. Pasti itu yang menjadi pertanyaan ketika ini.

Sedikit perincian, Vountus berusia 28 tahun dan pernah membantu skuad negara meraih gangsa di Kejohanan Universiti Dunia (WUC 2014) dalam acara beregu campuran ketika bergandingan bersama Lee Meng Yean.

Bekas pemain kelahiran Sabah itu juga pernah muncul naib juara Cabaran Antarabangsa Sri Lanka pada 2014 dan pernah bergandingan bersama pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem.

Jika diteliti, keputusan itu memang betul-betul tindakan ‘berani mati’ Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila sanggup mempertaruhkan jurulatih muda untuk membimbing pemain-pemain beregu yang senior dan umur lebih kurang sebaya dengannya.

Dan adakah Vountus yang memiliki pengalaman melatih pemain di Eropah boleh bekerjasama dengan pemain muda?

Tapi, mungkin betul juga pandangan daripada Pengurus Besar BAM, Michelle Chai di mana seseorang jurulatih yang mempunyai nama bukan jaminan mampu melahirkan dan membentuk pemain yang mantap.

Malah faktor usia muda juga bukan penghalang kerana yang paling penting ialah buktikan kemampuan anda di dalam gelanggang, tidak kira sesiapa pun.

Difahamkan, Vountus diberi tempoh percubaan selama tiga bulan sebelum memberi kontrak dua tahun.

Vountus (kanan) janji bekerja keras untuk melahirkan pemain yang sama seperti Tan Wee Kiong dan Goh V Shem.
Itu sewajarnya kerana BAM perlu menilai agar tidak memberi penyesalan suatu hari nanti kerana tersilap membuat keputusan.

Apa pun bagi saya, Vountus harus membuktikan beliau benar-benar bersedia untuk berkhidmat demi negara.

Kerana setiap jawatan itu ada tanggungjawab yang harus dibuktikan, bukan hanya kepada orang ramai, tetapi kepada barisan pemain yang berada dalam BAM sendiri.

Sebab kita tidak boleh terus leka lagi kerana negara lain seperti Jepun dan Taiwan memiliki barisan pemain semakin cemerlang dan terus mengejar kita.

BAM memiliki 15 pemain pelapis beregu lelaki yang dijangka dibimbing oleh Vountus.

Mereka ialah Amir Syazwan Al Razi Shahriman Bakhtiar, Nur Izzuddin Rumsani, Goh Sze Fei, Syazmil Idham Zainal Abidin, Wong Wai Jun, Tan Wee Gieen, Shia Chun Kang, Tan Jinn Hwa, Low Hang Yee, Soh Wooi Yik, Ian Wong, Tan Chee Tean, Man Wei Chong, Kwek Yee Jian serta Ng Jia Jun.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");