Isu Panas

Dr Hilmi Tempelak Guan Eng Minta SPRM Siasat

GEORGE TOWN – Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya menemplak tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dirinya berhubung dakwaan membantu “seorang doktor gigi palsu”.

Dalam nada sinis, Dr Hilmi meminta Lim menjalankan kerja dan tanggungjawab sendiri dan tidak perlu melaksanakan kerja dan tugas orang lain.

“Ketua Menteri Pulau Pinang ini tanpa usul periksa terus meminta SPRM untuk menangkap saya. Ini pelik. Sebagai seorang ketua menteri dia sepatutnya lebih teliti dan periksa dulu fakta itu betul atau tidak betul,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persatuan Rakan Niaga Strategik Negeri TNB Pulau Pinang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Hilmi berkata dalam hal berhubung “doktor gigi palsu” yang menjalankan perkhidmatan memasang pendakap gigi secara haram itu, beliau hanya memohon penjelasan dan bukannya memberi arahan.

“Jangan samakan saya dengan kes Phee Boon Poh (Exco Pulau Pinang yang pernah ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kilang haram di Sungai Lembu). Phee mengeluarkan arahan , saya dalam kes ini cuma meminta penjelasan dan bukan memberi arahan dan apabila mendapat tahu kes ini sudah naik ke mahkamah, saya tidak mencampurinya,” katanya.

Dr Hilmi yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau menasihatkan agar Lim menjalankan tanggungjawabnya di Pulau Pinang dengan menyelesaikan masalah yang berlaku antaranya banjir, kesesakan lalu lintas dan air. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");