Perak Hari Ini, Isu Panas

Fitnah Pengundi Hantu: MB Anggap Nga Kor Ming “Desperado”

BERUAS: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan dakwaan pembangkang kononnya mempunyai bukti kewujudan 165,000 ‘pengundi hantu’ di Perak sebagai permainan politik jahat.

 

Menurut beliau, dakwaan yang dibuat oleh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming itu sebagai satu tindakan ‘desperado’ (terdesak) pihak pembangkang untuk menfitnah Barisan Nasional (BN) dan seterusnya mengelirukan rakyat.

 

“Fitnah ini sama seperti Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu di mana mereka mendakwa wujud 43,000 pengundi hantu dari Bangladesh dan rakyat mempercayainya, jadi kini mereka mengulangi lagi tuduhan ini untuk PRU-14.

 

“Ini permainan politik yang begitu kotor, jahat dan terlampau desperado” katanya kepada media selepas merasmikan Program Himpunan Usahawan Sahabat Amanah Ikhtiar Cawangan Manjung di sini pada Jumaat.

Selain itu, Zambry yang juga Pengerusi BN Perak mencabar Kor Ming untuk menyerahkan kesemua bukti pengundi hantu yang konon disimpannya kepada pihak Polis atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

 

“Dia (Kor Ming) harus bertanggungjawab dengan tomahan yang dibuat, serahkan bukti itu kepada pihak berkuasa untuk siasatan secepat mungkin, (dan) tidak perlu beri kita tempoh 24 jam.

 

“Kita pun nak sangat tahu siapakah pengundi-pengundi hantu ini? Adakah ia sebenarnya milik Pakatan Harapan? DAP? Atau hantu diwujudkan Kor Ming sendiri?” ujarnya.

 

Pada hari yang sama, Timbalan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad turut senada dengan Zambry di mana beliau turut mencabar Kor Ming dan Ketua Pembangkang Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin untuk melaporkan dakwaan mereka kepada pihak berkuasa.

 

Pada Selasa, Kor Ming menyatakan pihaknya mendakwa mempunyai bukti berkenaan kewujudan lebih 165,000 pengundi hantu yang dibawa masuk ke dalam negeri ini menjelang PRU-14.

 

Dia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang mengugut akan menyerahkan semua bukti tersebut kepada pihak polis jika BN negeri tidak membuat permohonan maaf kepada pihak pembangkang dalam tempoh 24 jam selain menuduh BN sebagai ‘dalang’.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");