Sukan Hari Ini

Hanya Pemanas Bangku Simpanan

BEBERAPA pemain skuad bawah 22 tahun (B-22) negara yang dikaitkan dengan sebuah kelab bola sepak terkemuka dinasihatkan supaya tidak gelap mata mengejar kemewahan dan menyertai pasukan yang belum pasti memberikan peluang bermain kepada mereka.

Bekas pemain negara, Khalid Ali berkata, pemain tersebut perlu rasional dan memikirkan soal masa depan terutamanya dalam peningkatan permainan mereka yang tidak akan berkembang sekiranya hanya diletakkan di bangku simpanan.

Malah, katanya, tindakan mencantas ‘ubi’ atau pemain muda pasukan lain oleh sesebuah kelab sebenarnya tidak membantu  membangunkan bola sepak negara.

“Mereka masih muda, dan jika tidak diberikan peluang bermain dengan kerap, bakat mereka tidak akan ke mana dan hanya terperap di bangku simpanan.

“Lagipun, tindakan pasukan yang membeli dan menyimpan pemain muda berbakat ini juga akan menghancurkan masa depan bola sepak negara kerana pemain itu tidak dapat menimba pengalaman bermain di peringkat tertinggi,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pemain B-22 yang beraksi cemerlang dalam Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017) didakwa sedang disunting sebuah kelab berstatus bintang untuk beraksi bersama mereka musim depan.

Menurutnya, kelab tersebut juga sudah melakukan perkara sama beberapa tahun kebelakangan ini dan ia terbukti memberikan kesan kepada pembangunan skuad kebangsaan.

Dakwanya, apabila pemain tersebut tidak diberikan peluang bermain, kemungkinan untuk beraksi di peringkat antarabangsa akan tertutup sekali gus hilang dari radar bola sepak negara biarpun sebelum menyertai kelab itu mereka beraksi cemerlang bersama pasukan lama.

“Pemain muda berbakat ini aset penting kepada negara, tambah pula Persatuan Bola Sepak Malaysia sedang berusaha untuk memantapkan skuad kebangsaan.

“Tapi apabila pemain muda ini dicantas dan tidak diberikan peluang bermain, apa akan jadi kepada masa depan bola sepak negara

“Saya yakin kalau perkara ini berterusan, 10 tahun lagi pun skuad negara tidak akan ke mana,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");