Isu Panas

Himpunan Pembangkang Gagal Kerana Rakyat Semakin Faham

JELI – Kegagalan pembangkang menarik ramai penyertaan dalam Perhimpunan‘Sayang Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’ di Petaling Jaya, Selangor semalam jelas membuktikan rakyat semakin faham dengan penerangan dilakukan kerajaan dalam menangkis pelbagai tohmahan.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ia sekali gus menunjukkan rakyat mula menolak sebarang agenda dibawa pembangkang kerana jelas isu yang dimainkan mereka adalah tidak berasas.

“Malah himpunan tersebut turut tidak mendapat sambutan daripada kalangan penyokong mereka sendiri,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Penyelarasan Program Pembangunan Orang Asli Sungai Rual di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rual di sini, hari ini.

Semalam, perhimpunan ‘Sayang Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’ anjuran Pakatan Harapan di Padang Timur ternyata gagal mencapai matlamat penganjurannya apabila jauh daripada mencapai sasaran 100,000 peserta.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata Barisan Nasional (BN) juga telah menjangkakan program yang dilakukan pembangkang tidak akan mendapat sambutan daripada rakyat ketika ini.

Justeru, beliau berkata BN akan terus melaksanakan pelbagai program penerangan terhadap pelbagai isu berbangkit bagi menangkis serangan yang dilakukan pembangkang terhadap kerajaan.

“Kami bertemu rakyat dan berdialog dengan mereka untuk memberikan penerangan berkaitan perkara-perkara yang dibangkitkan pembangkang terutama terhadap kerajaan,” katanya.

Sementara itu di PADANG TERAP, seorang lagi Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kegagalan sasaran kehadiran peserta itu membuktikan rakyat sudah muak dengan semua propaganda yang ‘dihidangkan’ oleh pihak pembangkang.

“Rakyat sudah muak dengan segala bentuk caci mencaci dalam ucapan mereka yang tidak mempamerkan budaya sopan-santun dan menjaga adat ketimuran yang ada di negara ini.

“Pemimpin-pemimpin pembangkang juga memainkan isu-isu lama,” kata Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Santai Veteran UMNO Bahagian Padang Terap. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");