Sukan Hari Ini

Hoki: Britain Berpesta Gol

GREAT Britain berpesta gol apabila melakar kemenangan 11-0 ke atas Amerika Syarikat (AS) dalam saingan Piala Sultan Johor dengan Duncan Scott meledak hatrik di Stadium Hoki Taman Daya Johor Bahru, hari ini.

AS mempamerkan prestasi yang jauh lebih baik hari ini berbanding ketika tewas 0-19 di tangan juara bertahan, Australia, semalam – hanya membenarkan Britain menjaringkan dua gol di suku pertama.

Ketika menentang Australia, mereka ketinggalan 0-5 di suku pertama dan 0-12 sebaik tamat suku kedua perlawanan.

“Ia perlawanan yang baik tetapi kami terlepas banyak peluang bagi menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti, ini sesuatu yang kami perlu perbaiki. Apa pun, keseluruhannya kami bermain dengan baik dan teruja untuk berdepan aksi seterusnya,” kata ketua jurulatih Britain, Jon Bleby memetik laporan Sinar Harian.

Sementara itu, ketua jurulatih AS, Brian Schledron berkata persembahan anak buahnya lebih baik dengan mengambil kira ia hanyalah perlawanan kedua buat pasukan itu.

“Pemain bermain dengan baik di separuh masa pertama. Kami berjaya mengekang Britain daripada menjaringkan banyal gol.

“Saya fikir penjaga gol kami (Nathaniel O’Lari) dan pertahanan (Zaid Hassan) beraksi cemerlang tetapi malangnya kami tewas. Apa pun kami perlu bersikap positif dalam setiap perlawanan,” katanya.

Britain melancarkan serangan awal dan meraih tiga pukulan sudut penalti tetapi gagal menyempurnakannya sehinggalah Cameron Golden meledak dua gol minit ke-6 dan Duncan minit 15 bagi meletakkan pasukan itu mendahului 2-0.

Terdahulu, kubu AS diasak seawal minit kedua apabila kapten Britain, Jack Waller melakukan pukulan deras ke AS namun pasukan itu bernasib baik apabila tonggak pertahanan, Zaid Hassan berada di garisan gol untuk menyelamatkan percubaan berkenaan.

Bagaimanapun, kelemahan ketara di bahagian pertahanan AS di babak akhir perlawanan membenarkan Britain memenangi 11-0 hasil jaringan Duncan (minit 40 dan 41), Golden (44), Benjamin Francis (45 dan 46), Callum McKenzie (47), James Sutcliffe (54), Edwars Way (56) dan Alaxender Blumfield (59).

Barisan pemain AS bagaimanapun dilihat belum berputus asa apabila cuba bangkit selepas melepaskan lapan gol dengan meraih dua pukulan sudut penalti buat kali pertama dalam kejohanan tetapi percubaan Vincent Heller dan Dean Schiller tersasar.

Secara keseluruhan, Britain menguasai perlawanan dengan baik berbanding AS dengan corak serangan pantas tetapi beberapa peluang yang dicipta gagal disempurnakan susulan ketangkasan ditunjukkan penjaga gol AS, O’Lari bagi menyelamatkan gawang pasukannya daripada dibolosi lebih banyak gol.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");