Berita Hari Ini

Isu Pelajar: Bagaimana Kita Mendengarnya?

DALAM satu sesi bertemu pelajar di Kem Motivasi – penulis diminta menegur sikap pelajar sekolah yang suka *couple*. Penulis diminta menegurnya, kerana terdapat elemen negatif termasuk kes-kes pasangan pelajar ditangkap kerana berdating di kawasan sekolah dalam keadaan mencurigakan.

Antaranya – berpelukan. Malah bercumbuan. Ia rahsia terbuka yang jarang mahu dibualkan. Pentadbiran sekolah terutama peringkat menengah menyedari budaya ini bukan isu baharu.

Cuma timbul persoalan: Bagaimana mahu mengawalnya?

Sesi disertai hampir 200 pelajar lelaki dan perempuan. Agak sukar memulakan sesi dalam dewan yang mengumpulkan semua pelajar Tingkatan Empat. Agak sukar memulakan ucapan; dengan menuduh dan mengkritik isu couple dan dating.

Lebih sukar kerana yang melakukan hanya beberapa orang dan kita diminta mengkritiknya secara terbuka. Ia aneh, kerana isu ini bukan dilakukan semua pelajar.

Pelajar memerlukan asprasi untuk mengukuhkan kemahuan diri. Malah, memerlukan contoh untuk membantu mereka melihat masa depan yang baik. Awas! Masa depan mereka tidak boleh dihujahkan secara klise dan bombastik atau retorik. Ia menjadikan pelajar elergik.

Apa relatif menyebut masa depan dalam kes-kes pendidikan motivasi yang khas diadakan bagi mengekang budaya *couple* dan gejala *dating?*

Ia berkait rapat dengan aspirasi minda. Remaja wajar diberi peluang melihat masa depan dengan sesuatu yang dekat dengan diri mereka dan mampu mengaspirasikan.

Cuma, mampukah aspirasi kerjaya dan kejayaan hidup, menghapuskan fitrah remaja pada usia 16 tahun yang mula berkembang sebagai manusia yang tertarik pada pasangan bukan sama jantina.

Lebih-lebih lagi dalam kes pelajar sekolah agama!

Penulis menolak untuk mensensasi sesi ucapan. Apa guna menimbulkan kejutan dengan mendedahkan ada di kalangan pelajar dalam dewan itu pernah ditangkap guru sekolah kerana berdating?

Tindakan ugutan sensasi untuk cenderung memalukan atau berniat menakutkan pelajar bukan jalan penyesaian. Pelajar tidak suka ugutan dan tidak akan berubah hanya kerana dimalukan atau ditakut-takutkan.

Jadi ucapan dimulakan dengan kisah tahun 1996. Penulis bertemu dengan seorang remaja lepasan SPM yang miskin. Pelajar anak Melaka yang datang ke KL untuk mencari peluang hidup setelah keputusan SPMnya sangat sederhana.

Pelajar ini tidur di padang permainan kanak-kanak berdekatan Taman TEN di Cheras dan aktif bermain bola sepak. Remaja itu, kerana kesusahan hidup tanpa rumah, kemudian dibantu mendapatkan kerja sebagai despatch.

Selain dibenarkan bermalam di kabin milik persatuan penduduk dengan izin menggunakan paip air untuk mandi dan membasuh baju.

Masa berlalu. Pada tahun 2014, penulis dijemput menyampaikan siri ceramah di beberapa universiti sekitar New Zealand. Hinggalah di satu sesi, muncul seorang pelajar ketika sesi soal jawab. Dia hanya berdiri dan mengucapkan terima kasih pada penulis.

“Anda diminta bertanya soalan,” kata penulis separuh bergurau: “Bukan berterima kasih.”

Pelajar yang sudah berjambang, di tengah cuaca sejuk New Zealand itu, hanya ketawa dan berkata: “Terima kasih kerana tiga pasang kemeja dan membantu saya mendapatkan kerja!”

Penulis terdiam. Pelajar itu duduk. Majlis soal jawab selesai dan ketika waktu jamuan, pelajar berjambang itu mendekati penulis.

“Ingat lagi saya. Budak Melaka yang menumpang di kabin?”

Penulis terkedu.

“Saya dah nak habiskan PHD dalam Sains Sukan di sini,” kata pelajar itu.

Tujuh bulan kemudian, pelajar ini menghubungi penulis dan memaklumkan dia sudah menjadi CEO di agensi milik Kerajaan Negeri Melaka.

Penulis lega kerana cerita ini menyebabkan 200 pelajar dalam dewan menyebut *waa*. Itu tanda kagum dan teraspirasi.

Penulis tidak mahu berbual soal *couple*. Apa lagi soal mengkritik gejala dating. Jadi, memilih untuk meneruskan sesi dengan kisah-kisah kejayaan. Kisah orang-orang biasa pada usia remaja tetapi menjadi sangat hebat pada era kerjaya.

Sesi berakhir. Waktu makan sekumpulan pelajar lelaki mendekati penulis. Duduk di keliling meja yang kasualnya macam suasana di warung. Akhirnya, banyak cerita yang didengar. Semua orang punya cerita. Macam-macam cerita.

Sesi dipanjangkan lagi. Kini bertemu pula dalam kumpulan kecil. Ada pelajar lelaki mengadu ketakutannya kerana dia menyukai teman sejenis. Pelajar ini menangis dan sangat takut kerana dia jatuh cinta pada rakan asramanya.

Kemudian datang tiga pelajar wanita yang menemani seorang rakan asrama. Seorang remaja 16 tahun yang sangat menderita kerana putus cinta dengan senior sekolahnya. Kisahnya sangat memilukan. Cuma tiada yang sanggup mendengarkan.

Penulis bukan doktor cinta atau pakar psikitaris. Hanya orang tua yang lama jadi wartawan. Tetapi mendengar dan mendengar serta menunjukkan rasa simpati, sedikit membantu setiap pelajar yang mengadu.

Penulis percaya: Remaja menderita kerana terlalu banyak cemuhan dan hukuman. Namun, tiada yang sudi mendengarkan.

Artikel ini ringkas. Tidak perlu disensasikan details aduan pelajar dalam sesi mendedahkan masalah dan konflik diri. Menghebahkannya tidak membantu. Hanya sensasi murahan.

Apa yang diharapkan ialah lebih banyak NGO dan pakar kaunseling menjalankan khidmat kemasyarakatan di sekolah. Pelajar sudah jemu mendengar syarahan. Mereka sudah bosan dipersalahkan.

Mereka memerlukan orang untuk mendengarkan. – MYNEWSHUB.CC

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");